23,287 kenderaan perdagangan diperiksa, 2,923 diambil tindakan

23,287 kenderaan perdagangan diperiksa, 2,923 diambil tindakan

IPOH: Sebanyak 23,287 kenderaan perdagangan telah diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak dalam Op Kenderaan Perdagangan sejak Januari hingga kini.

Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 2,923 kenderaan diambil tindakan termasuk 44 kenderaan yang disita.

Katanya, antara kesalahan utama yang direkodkan adalah tiada lesen vokasional melibatkan 999 kes, diikuti tiada Lesen Kenderaan Perdagangan (CDL) sebanyak 772 kes serta kesalahan lebih muatan membabitkan 677 kes.

“Selain itu, sebanyak 601 kes melibatkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh manakala 559 lagi kes dikesan gagal menjalani pemeriksaan berkala Puspakom dalam tempoh ditetapkan.

“Sepanjang operasi itu dijalankan, JPJ Perak turut mengeluarkan 6,600 Notis P22 selain 41 notis di bawah Seksyen 64(1) dan 499 notis di bawah Seksyen 63(3),” katanya dalam sidang akhbar selepas Operasi Khas Sempena Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2026, di sini hari ini.

Dalam tempoh sama, beliau berkata, JPJ Perak turut mempergiatkan Ops Kenderaan Mewah sebagai usaha memastikan pematuhan undang-undang jalan raya dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira kategori kenderaan.

Katanya, sebanyak 60 kenderaan mewah disita membabitkan Toyota Vellfire, Toyota Alphard dan Porsche Cayenne.

“Antara kesalahan utama yang dikesan dalam operasi itu ialah LKM dan insurans tamat tempoh selain tiada lesen memandu yang sah.

“Bagi Op Kenderaan Mewah, sebanyak 119 Notis P22 dan 60 notis di bawah Seksyen 64(1) telah dikeluarkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Op HRAA 2026 yang berlangsung dari 24 hingga 31 Mei ini bertujuan memastikan keselamatan jalan raya sepanjang musim perayaan serta meningkatkan pematuhan pengguna terhadap undang-undang lalu lintas

Katanya, sepanjang dua hari pelaksanaan operasi berkenaan, sebanyak 1,662 kenderaan diperiksa dengan 206 kenderaan telah diambil tindakan.

“Sebanyak 510 notis P22 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap 53 pemandu mendapati kesemuanya negatif mengambil bahan terlarang.

“Selain itu, menerusi penyamaran di dalam bas oleh penguatkuasa, kita berjaya mengesan dua kes membabitkan memandu secara berterusan di lorong kanan,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top