
Laporan yang mendakwa Negara Qatar ‘menawarkan’ AS$12 bilion kepada Iran bagi memastikan pemeteraian perjanjian itu adalah tidak berasas sama sekali. Foto hiasan
WASHINGTON – Qatar pada Isnin menafikan dakwaan bahawa negara itu “menawarkan” AS$12 bilion kepada Iran bagi memuktamadkan perjanjian untuk menamatkan perang Amerika Syarikat (AS)-Israel, konflik yang mencetuskan kejutan di rantau itu dan sekitarnya, lapor Anadolu Ajansi.
“Laporan yang mendakwa Negara Qatar ‘menawarkan’ AS$12 bilion kepada Iran bagi memastikan pemeteraian perjanjian itu adalah tidak berasas sama sekali dan disebarkan oleh pihak yang cuba menggagalkan perjanjian serta melemahkan usaha diplomatik yang bertujuan meredakan ketegangan dan menggalakkan kestabilan di rantau ini.
“Peranan diplomatik Qatar, dengan penyelarasan bersama rakan serantau, telah lama terbukti dan didokumentasikan secara terbuka.
“Naratif seumpama itu tidak lebih daripada cubaan terdesak untuk mencemarkan reputasi Qatar sebagai pemudah cara keamanan antarabangsa yang dipercayai,” kata jurucakap Kementerian Luar Majed Al Ansari menerusi platform media sosial X.
Kenyataan itu dikeluarkan ketika beberapa pegawai kanan Iran mengunjungi Qatar susulan pelbagai usaha diplomatik untuk memuktamadkan perjanjian berkenaan.
Ketegangan serantau memuncak pada 28 Februari apabila AS dan Israel melancarkan serangan mengejut terhadap Iran, mendorong Tehran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang mengenai sasaran di seluruh rantau itu, selain menutup Selat Hormuz.
Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April menerusi pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian berkekalan.
Trump kemudian melanjutkan gencatan senjata itu tanpa tempoh tertentu sambil mengekalkan sekatan terhadap kapal yang menuju ke atau dari pelabuhan Iran melalui laluan strategik itu.
Minggu lepas, beliau berkata perjanjian itu “sebahagian besarnya telah dirundingkan” dan menunggu untuk dimuktamadkan. – Bernama



