Kuala Lumpur: Semakin ramai lelaki berjaya sedang bergelut secara senyap dengan tekanan, lesu upaya dan keletihan emosi walaupun kelihatan hebat dari segi luaran, menurut pakar kesejahteraan dan kepimpinan.
Pakar yang terlibat dalam Sidang Kemuncak Kesihatan Asia (HSA) 2026 bertajuk “From Performance to Alignment: The Missing Dimension in Men’s Well-Being and Leadership” di sini berkata tekanan hidup masa kini berkaitan pencapaian, status dan produktiviti menyebabkan ramai lelaki mengabaikan kesejahteraan fizikal, emosi dan mental mereka demi mengejar kejayaan serta pengiktirafan kerjaya.
Jurulatih kesejahteraan lelaki, mentor serta pengasas MyMasterMan, Prof Maurizio Rosini berkata ramai lelaki menyamakan nilai diri dengan pencapaian, petunjuk prestasi utama (KPI) dan kejayaan kewangan, yang selalunya mengorbankan kesejahteraan mereka secara keseluruhan.
“Lelaki melihat diri mereka ‘cukup baik’ apabila mereka mencapai sasaran atau matlamat tertentu. Dalam proses itu, mereka mengabaikan diri sendiri dari segi fizikal dan emosi, lalu menyebabkan mereka menjadi lesu,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif semasa sidang kemuncak itu.
Beliau berkata ramai lelaki kurang mempunyai keupayaan mengawal emosi dan kesedaran diri kerana nilai-nilai tersebut jarang diajar atau diberi bimbingan dari usia muda.
Rosini berkata perbincangan mengenai kesejahteraan lelaki kini turut berkembang melangkaui aspek kekuatan fizikal dan prestasi, merangkumi keseimbangan emosi, ketahanan mental serta identiti diri.
Beliau berkata istilah seperti “kecergasan mental” lebih mudah diterima oleh lelaki berbanding “kesihatan mental” kerana ia membantu mengurangkan stigma dan penolakan berkaitan kesejahteraan emosi.
Sementara itu, pakar osteopati, naturopati dan pengasas Metabolic Health Reset, Ricky Brown berkata lesu upaya, kepenatan dan tahap tenaga yang rendah semakin menjadi kebiasaan kerana gaya hidup moden semakin terpisah daripada keperluan asas biologi dan evolusi manusia.
Beliau berkata penekanan masyarakat moden terhadap kemudahan, kekayaan material dan produktiviti berterusan telah menyebabkan ramai individu mengabaikan amalan asas kesihatan seperti tidur yang mencukupi, pergerakan fizikal, pengurusan tekanan serta pemakanan berkhasiat.
“Kita sedang mengutamakan perkara yang dianggap lebih penting seperti kekayaan material, kekayaan kewangan, status dan pengiktirafan. Pada masa yang sama, persekitaran moden yang penuh dengan kemudahan, keselesaan dan gangguan menjauhkan manusia daripada asas-asas yang menyokong tenaga, daya tahan dan kekuatan yang baik,” katanya.
Brown berkata tidur yang tidak mencukupi masih merupakan antara faktor paling kerap diabaikan yang menyumbang kepada kesihatan metabolik yang buruk serta penurunan prestasi jangka panjang.
“Tanpa tidur malam yang berkualiti, sensitiviti insulin menurun pada keesokan harinya, menyebabkan lonjakan gula dalam darah dan keinginan terhadap makanan manis. Lama-kelamaan, ini menyumbang kepada rintangan insulin dan sindrom metabolik,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa stres kronik, tabiat pemakanan yang tidak sihat serta gaya hidup tidak aktif merupakan antara faktor utama yang menjejaskan kesihatan metabolik dan tahap tenaga lelaki.
Berkaitan kerja syif dan jadual tidur yang tidak teratur, Brown mengakui tiada penyelesaian yang sempurna, namun menasihatkan pekerja agar mengekalkan konsistensi sebanyak mungkin dalam rutin tidur dan jaga mereka, di samping mengutamakan pendedahan kepada cahaya semula jadi serta mengurangkan penggunaan skrin sebelum waktu rehat.
Pengasas bersama syarikat teknologi kesejahteraan Kineon, Tom Sanderson berkata teknologi kesejahteraan boleh menyokong pemulihan, pengurusan kesakitan dan penjagaan kesihatan pencegahan, namun tidak dapat menggantikan amalan gaya hidup sihat yang asas.
“Teknologi boleh menyokong disiplin dan amalan yang baik, tetapi ia tidak boleh menggantikannya. Jika anda tidak makan dengan baik, bersenam atau tidur dengan betul, teknologi sukar untuk membantu anda kembali kepada keseimbangan,” katanya.
Sanderson berkata kaedah kesejahteraan dan teknologi pemulihan boleh membantu individu mengekalkan pergerakan fizikal serta mengurangkan tekanan, terutamanya bagi golongan profesional yang perlu mengimbangi kerjaya yang mencabar dan tanggungjawab keluarga.
Pakar turut menekankan kepentingan platform seperti HSA 2026 dalam meningkatkan kesedaran serta menggalakkan perbincangan peringkat kepimpinan yang lebih sihat di seluruh ASEAN.
Mereka berkata forum seperti ini menyediakan ruang yang selamat untuk orang ramai membincangkan cabaran kesejahteraan, berkongsi pengetahuan serta memberi inspirasi kepada tindakan praktikal ke arah gaya hidup yang lebih sihat.
Memberikan nasihat kepada lelaki secara umum, Rosini menggesa setiap individu supaya berani menilai diri dan bertanggungjawab terhadap aspek kehidupan yang perlu diperbaiki.
Sementara itu, Brown menggalakkan lelaki supaya tidak takut kepada ketidakselesaan, dengan berkata bahawa kemajuan diri selalunya dicapai melalui kejayaan mengatasi cabaran, bukannya dengan mengejar keselesaan berterusan dan ganjaran segera.
© New Straits Times Press (M) Bhd




