am@hmetro.com.my
Kulai: Dua rakan maut selepas kereta dipandu seorang daripada mereka melanggar pokok di Kilometer 27 Jalan Johor Bahru – Air Hitam, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kemalangan itu pada jam 3.05 pagi.
Beliau berkata, kereta itu dipandu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun bersama seorang penumpang seorang wanita warga tempatan berusia 22 tahun.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang sedang bergerak menghala ke arah Johor Bahru itu hilang kawalan lalu terbabas melanggar pokok di kiri jalan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang kereta parah pada bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan
1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507.
© New Straits Times Press (M) Bhd




