Seorang maut, 9 cedera dan 9 hilang, tangki bahan kimia di kilang kertas meletup

Seorang maut, 9 cedera dan 9 hilang, tangki bahan kimia di kilang kertas meletup

Washington: Sekurang-kurangnya seorang maut dan sembilan individu cedera, manakala sembilan lagi masih hilang selepas sebuah tangki besar berisi bahan rawatan kimia meletup di sebuah kemudahan kertas dan pembungkusan, di sini, menurut pegawai bomba.

Letupan itu berlaku sekitar jam 7.30 pagi waktu tempatan di fasiliti Nippon Dynasave Packaging Co di Longview, di sini, selepas sebuah tangki mengandungi cecair putih pecah, lapor CNN.

Cecair putih itu adalah campuran bahan kimia yang digunakan dalam proses pembuatan kertas, menurut Jabatan Bomba Longview.

Jabatan itu memaklumkan tiada ancaman segera kepada orang awam, namun lokasi kejadian masih aktif dan pasukan kecemasan kini berada dalam fasa pemulihan.

Mangsa yang cedera terdiri daripada lapan pekerja dan seorang anggota bomba, kata pegawai bomba.

Dalam sidang media pada hari kejadian, pihak bomba memaklumkan terdapat kematian berkaitan kejadian letupan terbabit.

Walaupun pegawai pada awalnya menyatakan tangki itu mempunyai kapasiti 80,000 gelen dan kira-kira 60 peratus penuh, mereka kemudian menjelaskan tangki itu sebenarnya mengandungi lebih 10 kali ganda iaitu sekitar 900,000 gelen cecair putih terbabit.

Kira-kira 90,000 gelen bahan itu dipercayai masih berada di dalam tangki yang rosak.

Letupan itu adalah insiden terbaharu dalam siri kemalangan di fasiliti industri, kilang dan loji dalam beberapa bulan kebelakangan ini, yang sebahagiannya turut mengorbankan nyawa.

Minggu lalu, pihak berkuasa bertungkus-lumus menghalang sebuah tangki bahan kimia yang terlalu panas di California daripada meletup.

Ia juga menyebabkan puluhan ribu penduduk dipindahkan sehingga tekanan dalam tangki berjaya dikurangkan dan risiko letupan besar dihapuskan.

Jurucakap PeaceHealth St John Medical Center memberitahu CNN bahawa hospital itu pada awalnya menerima sembilan pesakit, termasuk seorang yang meninggal dunia akibat insiden di Longview.

Dua mangsa dipindahkan ke fasiliti lain manakala enam lagi berada dalam keadaan sederhana stabil, menurut pengurus komunikasi hospital, Jim Murez.

Jabatan bomba berkata, kebimbangan keselamatan berterusan di fasiliti Longview menyukarkan usaha pemulihan.

Tangki itu masih tidak stabil dan mewujudkan keadaan berbahaya kepada pasukan penyelamat.

Agensi tempatan, serantau dan negeri sedang bekerjasama dengan kakitangan fasiliti untuk mengukuhkan struktur dan menstabilkan tapak serta membantu usaha pemulihan yang dijangka boleh disambung semula dengan selamat pada pagi Rabu, menurut jabatan bomba.

Jabatan Ekologi Washington menghantar pasukan pemantauan tumpahan ke lokasi bagi memantau kualiti udara dan air, menurut jurucakap Brittny Goodsell.

Katanya, walaupun pasukan penyelamat belum mengesan peningkatan masalah kualiti udara, satu lagi pasukan pemantauan udara menuju ke fasiliti itu untuk membantu usaha berkenaan.

“Ketika ini, kami tidak mempunyai kebimbangan terhadap kesihatan awam di luar kawasan kejadian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top