Slot akui silap buat beberapa keputusan ketika kemudi Liverpool musim ini

Slot akui silap buat beberapa keputusan ketika kemudi Liverpool musim ini

PENGENDALI Liverpool, Arne Slot membuat pengakuan terbuka mengenai kelemahannya sepanjang musim kedua membimbing kelab itu, dengan mengakui beberapa keputusan yang dibuatnya sepanjang kempen kali ini adalah tidak tepat.

Kegagalan mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) menyaksikan skuad The Reds sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima sekali gus memaksa pengendali kelahiran Belanda itu menilai semula musim yang disifatkannya penuh dengan ujian dan nasib malang.

Slot secara jujur mengakui kesilapannya dan mendedahkan fasa peralihan selepas era kejayaan sebelum ini sememangnya amat sukar.

“Ia bukan apa yang saya mahu kami capai sebelum musim bermula. Namun, mengambil kira segala perkara yang berlaku, saya tetap gembira kami sekurang-kurangnya layak ke Liga Juara-Juara.

“Kita, malah saya sendiri tidak sempurna. Saya juga akan memberikan jawapan yang sama jika ditanya ketika kami memenangi liga kerana sebagai pengurus atau pemain, anda tidak akan pernah sempurna.

“Namun, setiap keputusan yang saya buat sepanjang musim ini adalah berdasarkan satu idea, iaitu untuk memastikan pasukan bersedia dengan sebaik mungkin.

“Bukan semua keputusan itu betul. Jadi, adalah bodoh untuk saya duduk di sini dan mendakwa semua keputusan saya adalah tepat. Bagaimanapun, sebelum keputusan itu dibuat, saya sentiasa merasakan ia adalah tindakan yang betul untuk diambil,” katanya.

Antara perkara yang paling mendapat perhatian media dan penyokong adalah cara Slot mengendalikan bintang utama, Mohamed Salah.

Pemain antarabangsa Mesir itu secara mengejut diletakkan di bangku simpanan ketika tempoh sukar musim sejuk yang menyaksikan Liverpool tewas sembilan daripada 12 perlawanan.

Tindakan itu mencetuskan ketegangan terbuka antara pemain dan pengurus menyebabkan Salah digantung satu perlawanan sebelum dia akhirnya memutuskan untuk meninggalkan kelab.

Meskipun berdepan konflik, Salah tetap meninggalkan Anfield dengan nota gemilang apabila mencipta rekod kelab dengan mengumpul 93 bantuan gol dalam EPL sekali gus memintas rekod legenda kelab, Steven Gerrard.

Apabila diminta menggambarkan kesukaran pasukannya sepanjang 10 bulan lalu dalam satu perkataan, Slot tanpa ragu-ragu menuding jari kepada masalah kecederaan.

“Jika anda meminta satu perkataan untuk menggambarkan musim ini, saya akan memilih perkataan ‘kecederaan’,” tambah Slot.

Situasi tersebut diperkukuhkan lagi dengan statistik kecederaan pemain, termasuk penjaga gol Alisson Becker yang terlepas 20 perlawanan, manakala pemain dengan rekod kelab, Alexander Isak hanya mampu beraksi sebagai kesebelasan utama dalam lapan perlawanan liga.

Selain itu, emosi pasukan turut terkesan susulan berita sedih mengenai kematian tragis penyerang, Diogo Jota dalam kemalangan jalan raya pada musim panas lalu.

Slot turut menerima kritikan kerana enggan memberi peluang kepada pemain muda seperti Rio Ngumoha sehingga ke peringkat akhir musim, namun beliau menegaskan keputusan itu dibuat demi menjaga kestabilan pasukan dalam fasa yang amat mencabar.

Scroll to Top