am@hmetro.com.my
Machang: Wanita maut manakala suaminya parah selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan kereta di Kilometer 29.4 Jalan Lama Kota Bharu-Kuala Krai dekat Pulau Chondong di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira 8.30 pagi itu berlaku ketika pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di surau berhampiran.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki beberapa individu berlanggar dengan motosikal mangsa dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai.
“Akibat kemalangan itu, pembonceng motosikal iaitu wanita berusia 47 tahun meninggal dunia di lokasi, manakala penunggang motosikal, (lelaki, 44) parah dan kini dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian.
“Sementara itu, pemandu serta penumpang kereta tidak cedera,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Khairulanwar Adamb di talian 011-10085165 bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




