Kemalangan di Kuala Krai: Dua lagi termasuk bayi meninggal dunia

Kemalangan di Kuala Krai: Dua lagi termasuk bayi meninggal dunia

am@hmetro.com.my

Kuala Krai: Dua lagi mangsa termasuk bayi perempuan berusia setahun meninggal dunia susulan kemalangan membabitkan Toyota Alphard dan Perodua Bezza di Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran sebuah stesen minyak di Laloh, pagi tadi.

Sebelum itu, penumpang belakang Perodua Bezza, Safinaz Razmi, 52, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada 7.15 pagi itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Mohd Maizan Mustaffa berkata, anak Safinaz iaitu Jazmin Lyana Mohd Jamil, 22, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai pada 9.59 pagi akibat kecederaan di kepala.

“Tidak lama kemudian, anak kepada Jasmin Lyana iaitu Nur Nuha Helena Abd Matin yang berusia setahun pula meninggal dunia di HSIP pada 4.40 petang.

“Sementara itu, pemandu Perodua Bezza yang juga suami kepada Jasmin Lyana kini keadaan kritikal dan masih dirawat di hospital sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Maizan berkata, siasatan awal mendapati kereta dinaiki empat beranak itu dipercayai cuba memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan Toyota Alphard yang berada di laluan bertentangan.

Terdahulu, media melaporkan, seorang wanita maut manakala lima lagi cedera termasuk dua kanak-kanak dalam kemalangan itu yang berlaku berhampiran sebuah stesen minyak di Laloh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Nik Ahmad Afsham Nik Pa dilapor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian pada 7.18 pagi dan pasukan tujuh orang dihantar ke lokasi.

Katanya, Toyota Alphard membawa enam penumpang, termasuk dua kanak-kanak lelaki cedera, sementara Perodua Bezza dinaiki empat penumpang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top