lokman.khairi@hmetro.com.my
Ampang: Sebanyak 155 lembu dan kerbau disembelih warga asing di dua tapak sembelihan disediakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi menyempurnakan ibadah korban, hari ini.
MPAJ dalam kenyataan memaklumkan, inisiatif penyediaan tapak sembelihan itu bagi memastikan pelaksanaan ibadah korban oleh warga asing pada Hari Raya Aidiladha ini mematuhi piawaian kesihatan awam serta tidak mendatangkan kacau ganggu.
Menurutnya, sembelihan korban terbabit dilaksanakan di kawasan lapang bersebelahan Surau Nurul Huda Seri Mayang, Pandan Indah dan Taman Melur, di sini.
“MPAJ turut menyediakan pelbagai kemudahan di kedua-dua tapak termasuk khemah, sumber elektrik, lubang sisa penyembelihan serta bekalan air dan tangki khas.
“Langkah ini bagi memastikan aktiviti korban berjalan dengan teratur, bersih dan lancar tanpa menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk sekitar,” menurut kenyataan itu.
Menurut MPAJ, setiap haiwan korban yang dibawa ke lokasi perlu didaftarkan terlebih dahulu, selain dikenakan caj penyertaan mengikut jenis haiwan.
Katanya, peserta juga bertanggungjawab memastikan kebersihan kawasan, keselamatan serta pengurusan peralatan digunakan sepanjang proses penyembelihan.
“Anggota Jabatan Penguatkuasaan MPAJ turut ditempatkan di lokasi bagi tujuan pemantauan dan memastikan semua prosedur ditetapkan dipatuhi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




