Julfekar gesa penggiat muzik Sabah henti budaya dengki

Julfekar gesa penggiat muzik Sabah henti budaya dengki

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Komposer dan penerbit muzik, Julfekar menggesa penggiat muzik tempatan khususnya di Sabah untuk menghapuskan budaya menjatuhkan sesama sendiri bagi memastikan industri muzik negeri itu berkembang maju dan mampu bersaing di peringkat global.

Julfekar berkata, sifat iri hati dan persaingan dipenuhi toksik hanya akan merencat serta membataskan potensi besar yang dimiliki oleh anak-anak seni Sabah.

“Kita perlu buang budaya menjatuhkan sesama sendiri. Kalau ada artis baharu muncul, sokong. Kalau ada penerbit muda mencuba sesuatu yang baru, beri galakan dan bimbingan. Kalau ada lagu tempatan berkualiti, bantu promosikan.

“Industri muzik tidak akan berkembang dalam suasana penuh iri hati dan persaingan tidak sihat,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, sekiranya kualiti produksi muzik anak seni Sabah dapat ditingkatkan, ia secara langsung bakal membuka ruang ekonomi lebih luas termasuklah memudahkan lagu-lagu tempatan menembusi pasaran nasional dan antarabangsa.

“Sabah sebenarnya tidak kekurangan bakat. Kita mempunyai ramai penyanyi hebat, pencipta lagu berbakat, pemuzik yang kreatif serta kepelbagaian budaya dan bahasa etnik yang sangat unik dan bernilai tinggi. Itu adalah kekuatan yang tidak semua tempat miliki.

“Tetapi cabaran utama yang sering membataskan perkembangan industri muzik tempatan ialah sikap terlalu bersaing sesama sendiri, ego dalam berkarya, kurang perkongsian ilmu dan mentaliti bekerja secara berasingan,” katanya.

Justeru, Julfekar menyeru semua penggiat muzik mengubah corak pemikiran dengan melihat rakan artis dan penerbit lain sebagai rakan seperjuangan, bukan sebagai musuh atau pesaing yang perlu ditumbangkan demi kepentingan peribadi.

“Bayangkan jika setiap penerbit berpengalaman di Sabah mengambil beberapa anak muda untuk dibimbing, bukan sekadar mengajar menyanyi, menerbitkan lagu, mengajar software atau teknik rakaman, tetapi mengajar disiplin kerja, standard profesionalisme, etika industri, cara membina identiti artis dan cara menghasilkan karya yang benar-benar berkualiti.

“Dalam beberapa tahun sahaja, Sabah boleh melahirkan lebih ramai penerbit, komposer, penyusun, jurutera audio dan artis rakaman yang bertaraf tinggi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top