Aidiladha paling dinanti, ada keluarga hanya merasa daging setahun sekali

Aidiladha paling dinanti, ada keluarga hanya merasa daging setahun sekali

KAMPOT, KEMBOJA – Suasana Aidiladha di Kampung Samroang di Kampot disambut penuh kesyukuran apabila program korban dari Malaysia memberi peluang kepada ribuan penduduk Islam menikmati daging yang jarang dirasai pada hari biasa.

Program berkenaan dianjurkan oleh Bank Rakyat menerusi Kembara Korban Kemboja 2026, sekali gus menyantuni komuniti Islam di beberapa perkampungan sekitar kawasan berkenaan yang kebanyakannya hidup dalam keadaan serba sederhana.

Bagi sebahagian penduduk di Kampung Samroang, Aidiladha bukan sekadar perayaan, sebaliknya menjadi detik yang paling dinanti kerana hanya pada waktu itulah mereka berpeluang menikmati hidangan daging bersama keluarga.

Tenaga pengajar di Madrasah Nurul Hidayah, Kampung Khbel Romih yang juga penduduk tempatan, Ayub Sobri, 38, berkata, keadaan ekonomi setempat menyebabkan ada keluarga yang hanya mampu menikmati daging setahun sekali.

“Harga daging yang mencecah sekitar AS$8 (RM35) sekilogram menjadi faktor utama ramai penduduk tidak mampu membelinya.

“Menu harian lebih kepada ikan kerana lebih murah dan mudah diperoleh,” katanya ketika ditemui di Masjid An-Nur Kampung Samroang di sini pada Rabu.

Beliau berkata, setiap kali Aidiladha, penduduk setempat akan menantikan agihan daging korban kerana ia memberi kegembiraan besar kepada anak-anak dan keluarga yang jarang menikmati juadah berasaskan daging.

“Setiap tahun memang penduduk menunggu Aidiladha. Alhamdulillah, tahun ini rombongan dari Malaysia datang lagi dan kami sangat bersyukur,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya penduduk akan memasak pelbagai juadah seperti kari dan daging bakar untuk dinikmati bersama keluarga apabila menerima agihan daging korban.

Sementara itu, guru agama, Nasirin, 30, berkata, cabaran ekonomi menyebabkan ada dalam kalangan penduduk tidak mampu membeli daging walaupun untuk keperluan keluarga sendiri.

“Ada keluarga yang hanya dapat menikmati daging ketika Aidiladha setiap tahun.

“Kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani, nelayan dan kerja kilang dengan pendapatan sekitar AS$300 (RM1,275) sebulan,” katanya.

Nasirin yang turut mengajar agama secara percuma sejak lima tahun lalu berkata, walaupun hidup dalam serba kekurangan, komuniti Islam di kawasan itu tetap menyambut Aidiladha dengan suasana meriah dan penuh kesyukuran.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak penyumbang dari Malaysia yang membantu meringankan beban penduduk setempat.

“Terima kasih kepada semua penyumbang, terutama dari Malaysia yang sudi berkongsi rezeki dengan kami. Kami doakan semoga ALLAH SWT menerima amal mereka dan memberi keberkatan,” katanya.

Tinjauan mendapati ratusan penduduk mula memenuhi kawasan Masjid An-Nur Kampung Samraong sejak awal pagi bagi menunaikan solat sunat Aidiladha serta menyaksikan proses penyembelihan haiwan korban dalam suasana penuh tertib dan harmoni.

Difahamkan, komuniti Islam di Kampot dianggarkan melebihi 50,000 orang membabitkan kira-kira 3,000 keluarga, majoritinya menetap di kawasan perkampungan.

Sebanyak 52 ekor lembu bernilai lebih RM178,360 disumbangkan oleh Bank Rakyat menerusi Kembara Korban Kemboja 2026 bagi menjayakan program kebajikan tersebut.

Daripada jumlah itu, kira-kira 5,400 keluarga daripada 24 kampung menerima agihan daging korban, dengan setiap keluarga memperoleh sekitar 500 gram hingga satu kilogram daging.

Scroll to Top