SHAH ALAM – Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad mendakwa, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggunakan Pas dan UMNO sebagai modal untuk memecah-belahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), sekali gus ingin mengambil alih parti itu daripada Muhyiddin.
Menurut beliau, tindakan itu didakwa bertujuan membolehkan Hamzah mendapatkan jawatan Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tanpa perlu melalui pertandingan.
“Tujuannya satu sahaja. Supaya jawatan Presiden Bersatu dan Pengerusi PN diserahkan kepadanya di atas dulang emas. Inilah punca perpecahan Bersatu dan sekarang PN.
“Beliau dipecat bukan kerana ingin mencari titik penyatuan Melayu, tetapi kerana menjadi penyebab perpecahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Marzuki memberitahu, gerakan mendesak Muhyiddin berundur didakwa dilakukan menerusi usaha mempengaruhi Ketua Bahagian Bersatu untuk gerakan mengumpul tandatangan.
“Lebih mudah ‘mempengaruhi’ 120 Ketua Bahagian daripada meraih sokongan ribuan perwakilan di semua bahagian dalam pemilihan parti,” ujarnya.
Dakwanya, Hamzah menggunakan dua naratif utama iaitu beliau mendapat sokongan Presiden Pas untuk menjatuhkan Muhyiddin, selain membawa naratif kononnya sedang mengusahakan kerjasama antara Bersatu, Pas dan UMNO untuk membentuk kerajaan.
“Inilah dua modal besar yang dijaja oleh Hamzah kepada Ketua Bahagian-Ketua Bahagian Bersatu supaya menyokong gerakannya untuk menjatuhkan Muhyiddin.
“Hamzah tahu bahawa Ketua Bahagian-Ketua Bahagian Bersatu yang mengikutnya akan percaya apa sahaja yang dikatakannya,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, jelasnya, Hamzah sebelum ini tidak mempunyai kedudukan dalam Bersatu sehinggalah dilantik Muhyiddin sebagai Setiausaha Agung dan kemudian disokong menjadi Timbalan Presiden parti tersebut.
Beliau memberitahu, Hamzah menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden selepas Muhyiddin memujuk Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bertanding jawatan Naib Presiden bagi memberi laluan kepadanya.
“Tugas Timbalan Presiden dalam Perlembagaan Bersatu ialah membantu Presiden. Tetapi Hamzah bukan sahaja tidak membantu Presiden, malah menjalankan gerakan menjatuhkan Presiden secara terang-terangan sebaik sahaja beliau disahkan sebagai Timbalan Presiden,” ujarnya lagi.
Beliau turut mendakwa Hamzah tidak mencabar Muhyiddin dalam pemilihan parti kerana mengetahui sokongan akar umbi terhadap Presiden masih kuat.
“Tetapi beliau memilih memujuk Muhyiddin mengusahakan pelan peralihan parti dengan beliau dinamakan sebagai Timbalan Presiden.
“Dalam Perlembagaan Bersatu, apabila Presiden berhenti, Timbalan Presiden memangku jawatan Presiden. Inilah yang dia mahu. Menjadi Timbalan Presiden tanpa bertanding, kemudian desak Muhyiddin supaya berundur,” tambahnya lagi.
Menurutnya, Hamzah berpeluang menjadi Pemangku Presiden Bersatu selepas Muhyiddin berundur sebelum dilantik sebagai Pengerusi PN dengan sokongan Pas dan parti-parti lain dalam gabungan itu.
“Tanpa susah payah bertanding, dia mendapat jawatan Presiden Bersatu dan Pengerusi PN di atas dulang perak,” kata beliau.



