Dahulu mampu jual ikan, memancing, kini dua nenek bergantung bantuan ramai

Dahulu mampu jual ikan, memancing, kini dua nenek bergantung bantuan ramai

KAMPOT, KEMBOJA – Ketika ramai individu menikmati hari tua bersama keluarga, dua wanita warga emas di Kampung Tropeang Prinh di sini pula meneruskan kehidupan dalam serba kekurangan dengan bergantung kepada bantuan keluarga dan ihsan penduduk kampung.

Kedua-duanya yang hidup sebatang kara sejak muda kini tidak lagi mampu bekerja akibat masalah kesihatan dan faktor usia, sekali gus menjadikan bantuan orang ramai sebagai tempat bergantung untuk meneruskan kehidupan.

Berkongsi kisah hidupnya, Aisyah Husain, 80, berkata, kehidupannya berubah sepenuhnya selepas diserang penyakit saraf pada wajah sejak enam tahun lalu sehingga menyebabkan dia tidak lagi mampu melakukan sebarang pekerjaan.

“Saya kini hanya menghabiskan masa di rumah dengan segala makan minum ditanggung adik-beradik dan bantuan orang ramai,” katanya ketika ditemui di Kampung Tropeang Prinh di sini pada Khamis.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia sebelum ini mencari rezeki sebagai peniaga ikan, namun tidak lagi mampu bekerja selepas mengalami masalah kesihatan.

“Saya ambil bekalan daripada nelayan dan jual semula dalam kuantiti kecil, sekilo atau dua kilo ikan, untung dapat sekitar 95,000 riel hingga 145,000 riel (RM10 hingga RM15),” katanya.

Bagaimanapun katanya, keadaan kesihatan yang semakin merosot menyebabkan dia kini langsung tidak mampu bekerja.

“Saya tidak memilih hidup begini, tetapi inilah takdir yang saya perlu terima,” katanya.

Menurut Aisyah, dia turut menerima bantuan kerajaan Kemboja menerusi sijil kemiskinan sebanyak kira-kira USD15 sebulan (RM63 hingga RM65).

Sementara itu, seorang lagi warga emas, Zainab, 81, turut berdepan nasib hampir sama apabila mengalami masalah penglihatan sehingga tidak lagi mampu mencari rezeki.

“Saya kini hanya bergantung kepada bantuan bulanan kerajaan dan sumbangan penduduk kampung untuk membeli beras serta barang dapur.

“Sebelum ini saya cari rezeki dengan memancing di tepi pantai. Saya jalan kaki masuk ke laut setiap hari sebab tak ada bot.

“Sehari boleh dapat sekitar 95,000 riel hingga 194,000 riel (RM10 hingga RM20),” katanya.

Katanya, dia menggunakan wang bantuan yang diterima untuk membeli keperluan asas selain bergantung kepada ihsan orang ramai bagi meneruskan kehidupan.

“Saya masak sendiri, beli beras sendiri dan guna duit bantuan untuk barang keperluan.

“Sekarang saya memang bergantung pada bantuan orang sebab mata pun dah tak nampak,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mempunyai seorang kakak yang juga uzur dan tidak mampu berjalan menyebabkan kedua-duanya hidup dalam keadaan serba kekurangan pada penghujung usia.

Kedua-dua warga emas itu merupakan penerima sumbangan bakul makanan Bank Rakyat sempena Program Kembara Korban Kemboja 2026 pada Khamis.

Untuk rekod, Bank Rakyat melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi Program Kembara Korban Kemboja 2026 dengan mengagihkan bakul makanan kepada 100 keluarga asnaf.

Agihan berkenaan dilaksanakan di Masjid Ar-Rahim, Kampung Dontauk serta Kampung Tropeang Prinh di sini.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sebanyak 52 ekor lembu bernilai lebih RM178,360 disumbangkan Bank Rakyat menerusi Program Kembara Korban Kemboja 2026 bagi menjayakan ibadah korban dan kebajikan untuk penduduk serba kekurangan di sekitar Kampot.

Scroll to Top