
Mohd Radzi
SHAH ALAM – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menafikan dakwaan kononnya parti itu akan kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Menerusi hantaran ringkas di Facebooknya, beliau menyifatkan dakwaan sedemikian sebagai fitnah jahat yang sengaja disebarkan pihak tertentu.
“Fitnah jahat sedang tersebar kononnya Bersatu akan kembali bersama PH.
“Sedang kita sibuk dengan ibadah korban, mereka sibuk dengan fitnah. Saya tahu siapa pemfitnah ini walaupun mereka bertopeng,” katanya pada Khamis.
Ahli Parlimen Putrajaya itu bagaimanapun tidak memperincikan pihak yang dimaksudkannya atau menjelaskan motif dakwaan sebegitu disebarkan.
Sebelum ini, media melaporkan terdapat desas-desus Bersatu didakwa bakal kembali kepada PH susulan timbul ketegangan hubungan parti itu dengan Pas.
Dakwaan itu turut disangkal Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz sambil menegaskan yang kerjasama membabitkan partinya dengan PH tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana platform mesyuarat.
Beliau juga menyifatkan kerjasama itu sebagai tidak masuk akal kerana Bersatu antara parti yang pernah meruntuhkan kerajaan PH pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).



