Bapa resah nasib anak melecur dalam kemalangan van

Bapa resah nasib anak melecur dalam kemalangan van

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Anak adalah pencari nafkah tunggal keluarganya. Dia menyara isteri dan anak yang masih kecil.

“Saya bimbang dengan keadaannya kerana jika keluar hospital nanti, dia pasti memerlukan tempoh beberapa bulan untuk sembuh sepenuhnya dan boleh bekerja semula,” kata Roslan Anuar Che Amat, 45.

Pesara tentera itu menzahirkan demikian selepas anak lelakinya, Muhamad Jannatul Firdaus, 26, melecur teruk akibat terbabit kemalangan di Kangar, Perlis pada 14 Mei lalu.

Katanya, tragedi itu berlaku kira-kira 8 pagi ketika anak sulungnya yang bekerja sebagai tukang kebun, memandu van majikan untuk ke tempat kerja di Kangar.

“Dia bersama beberapa rakan sekerja menaiki van berkenaan dengan membawa empat mesin rumput serta satu tong petrol.

“Anak maklumkan ketika sedang memandu dia mendapati tong petrol berkenaan bergoyang sebelum tumpah. Beberapa minit kemudian, van terbabit meletup,” katanya ketika dihubungi.

Roslan berkata, anaknya dibawa ke Hospital Tunku Fauziah, Kangar sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah.

“Isterinya (Sulinawaty Ahmad Elias, 30) beritahu Muhamad Jannatul Firdaus terpaksa dipindahkan untuk rawatan lanjut dan dia juga menjalani pembedahan tampalan kulit di tangan kiri yang cedera teruk (pada 24 Mei lalu).

“Doktor maklum kena ambil isi paha atau punggung anak untuk ‘ganti’ isi tangan kiri yang mengalami luka dalam.

“Selain luka itu, anak juga melecur di hampir keseluruhan bahagian muka dan badan,” katanya.

Menurutnya, dia sedih apabila mengenangkan nasib Muhamad Jannatul Firdaus, apatah lagi pendapatan keluarga anaknya itu bakal terjejas kerana proses pemulihan yang memakan masa.

“Menantu hanya suri rumah dan mereka ada anak perempuan yang berusia dua tahun.

“Sejujurnya saya bimbang dengan keadaan anak, bukan sahaja dari segi kecederaan dialaminya tetapi juga aspek kewangan memandangkan dia tidak boleh bekerja,” katanya.

Roslan berkata ketika ini anaknya masih dirawat di HSB dan dijaga Sulinawaty.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top