Aset ketua Mafia bernilai lebih AS$232 juta dirampas di Itali

Aset ketua Mafia bernilai lebih AS2 juta dirampas di Itali

Rom: Pihak berkuasa Itali merampas aset bernilai lebih €200 juta (AS$232 juta) yang didakwa mempunyai kaitan dengan empayar Mafia dan rangkaian pengedaran dadah Ketua Cosa Nostra, mendiang Matteo Messina Denaro, menurut polis pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Seramai tiga individu ditahan dalam operasi berskala besar yang dijalankan merentasi beberapa buah negara, menurut pihak berkuasa.

Messina Denaro ditahan di Sicily pada Januari 2023. Sebagai Ketua Cosa Nostra, beliau merupakan antara penjenayah yang paling dikehendaki di Itali selama lebih tiga dekad.

Kejatuhannya bermula apabila beliau dikesan mendapatkan rawatan kanser di sebuah klinik. Lapan bulan selepas ditahan, beliau meninggal dunia semasa dalam tahanan pada usia 61 tahun sebelum sempat dibicarakan.

Pihak berkuasa memaklumkan bahawa serbuan terbaharu itu adalah sebahagian daripada siasatan berhubung kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan operasi pengedaran dadah, yang didakwa mempunyai kaitan dengan Messina Denaro.

Wang berkenaan dikumpul hasil daripada pelaburan semula dana aktiviti pengedaran dadah sejak tahun 1980-an di beberapa buah negara di Eropah dan luar benua itu.

Penyiasat setakat ini telah mengenal pasti lapan syarikat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian berkenaan.

Selain itu, mereka turut mengenal pasti aset dalam bentuk emas dan hartanah mewah yang terletak di kawasan paling eksklusif di Costa del Sol, Sepanyol.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top