Warga emas hilang 3 hari dakwa ikut 'budak'

Warga emas hilang 3 hari dakwa ikut 'budak'

am@.metro.com.my

Pontian: Warga emas, Nathiah Selamat, 77, yang ditemukan selamat pagi semalam selepas dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu di Kampung Seri Bunian di sini, didakwa mengikut ‘budak’ ke kebun kelapa sawit berdekatan.

Nathiah ditemukan oleh penduduk kampung jam 10.50 pagi dalam keadaan keletihan dan kebingungan dalam jarak 2.4 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Penduduk, Mohamed Suib Kamso, 50, yang juga pekerja kebun sawit di Parit Wakaf Kampung Tenggyon berkata, dia terdengar bunyi sesuatu bunyi yang pelik ketika melalui kawasan berkenaan dana apabila mendekati dia mendapati seorang wanita warga emas dalam keletihan.

Katanya, dia kemudiannya terus memberitahu pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang berada tidak jauh dari lokasi wanita itu ditemukan.

“Warga emas berkenaan dalam kebingungan dan selepas diberi air minuman dia beritahu berjalan bersama budak kecil tanpa henti sehingga terasa letih dan tertidur.

“Pasukan SAR membawa Nathiah ke Hospital Pontian untuk rawatan,” katanya.

Mohamed Suib berkata, warga emas terbabit dipercayai berjalan melalui tiga kawasan kebun kelapa sawit bermula di Kampung Medan Sari, Kampung Seri Bunian Kampung Parit Wakaf, Tenggayon.

Terdahulu akhbar melaporkan mangsa hilang pada 26 Mei lalu dan difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah kediamannya di Kampung Seri Bunian pada jam 11.00 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top