Rancang serang konsert Taylor Swift, lelaki dipenjara 15 tahun

Rancang serang konsert Taylor Swift, lelaki dipenjara 15 tahun
Rancang serang konsert Taylor Swift, lelaki dipenjara 15 tahun

Beran (tengah) mengaku bersalah atas pertuduhan utama berhubung rancangan serangan terhadap konsert Taylor Swift di Vienna. Foto: Reuters

VIENNA – Seorang lelaki Austria dijatuhi hukuman penjara 15 tahun selepas didapati bersalah merancang serangan terhadap konsert penyanyi terkenal, Taylor Swift di Vienna pada Ogos 2024.

Menurut laporan BBC, tertuduh yang dikenali sebagai Beran A,21 mengikut undang-undang privasi Austria turut disabitkan dengan beberapa kesalahan lain berkaitan keganasan.

Dia ditahan selepas pihak berkuasa menerima maklumat daripada Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) sebelum konsert pertama daripada tiga persembahan dijadualkan berlangsung di Stadium Ernst Happel, Vienna.

Susulan ancaman tersebut, ketiga-tiga konsert yang telah habis dijual dibatalkan serta-merta hingga mengecewakan hampir 200,000 peminat dan penyanyi berkenaan.

Sebelum ini, Taylor Swift Swift memaklumkan insiden itu sebagai keadaan yang hampir membawa kepada tragedi besa

Sebuah dokumentari jelajah Eras Tour turut mendedahkan bahawa beliau hanya mengetahui mengenai rancangan serangan bom itu ketika dalam perjalanan ke Austria.

Pendakwa raya memaklumkan Beran A telah dipengaruhi fahaman radikal dan cuba mendapatkan senjata secara haram termasuk mesingan dan bom tangan, namun tidak berjaya.

Pakar psikiatri mahkamah, Peter Hoffmann berkata, Beran A tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit mental dan tiada penjelasan psikiatri yang boleh menjelaskan proses radikalisasinya.

Perbicaraan berlangsung di Wiener Neustadt, selatan Vienna, bersama seorang lagi tertuduh berusia 21 tahun dari Slovakia, Arda K, yang didakwa menjadi sebahagian daripada sel kumpulan radikal itu.

Bagaimanapun, Arda K tidak terlibat dalam rancangan serangan terhadap konsert tersebut dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.

Sebelum keputusan diumumkan, Beran A dilaporkan memohon maaf di mahkamah.

Selepas serangan itu berjaya digagalkan, Taylor Swift mengakui insiden berkenaan menimbulkan ketakutan baharu dalam dirinya selain rasa bersalah yang mendalam terhadap peminat susulan pembatalan konsert.

Bagaimanapun, penyanyi itu turut menzahirkan penghargaan kepada pihak berkuasa kerana berjaya menghalang tragedi yang berpotensi meragut banyak nyawa.

Scroll to Top