syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penerbit, Gayatri Su-Lin Pillai berkongsi rasa kehilangan atas pemergian pengarah, Nohanisham Muhammad atau dikenali sebagai Labu yang meninggal dunia, petang semalam.
Gayatri yang mula bekerjasama dengan Labu menerusi filem Sangkar pada 2018 menggambarkan lelaki itu yang juga pengarah sinematografi sebagai sahabat yang memiliki semangat setiakawan tinggi.
“Arwah seorang yang sangat menyayangi keluarga, bijak, memiliki semangat setiakawan yang tinggi dan sangat baik hati. Namun, ada waktunya dia juga boleh menjadi sangat garang.
“Dia seorang pemimpin yang bagus, suka makan, amat meminati bola sepak, politik, motosikal dan filem. Selalu sahaja ada perkara yang ingin kami borakkan bersama.
“Dia kawan rapat saya dan memiliki semua ciri seorang manusia yang membuatkan kita bangga untuk menggelarnya sebagai sahabat,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya mengenai komunikasi terakhir mereka, Gayatri berkata, dia sempat mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada arwah.
“Kali terakhir saya berbual dengan Labu ialah pada hari Isnin, manakala mesej terakhir kami adalah ketika saling mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha,” katanya.
Jenazah Allahyarham akan dimandi dan dikafankan di hospital sebelum dibawa ke Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Kuala Selangor.
Solat jenazah dijangka dibuat selepas solat Jumaat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Piah, Kuala Selangor.
Malam tadi, Harian Metro melaporkan Labu meninggal dunia ketika berada di rumahnya di Taman Kuala Selangor Jaya, Kuala Selangor kira-kira jam 5 petang semalam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




