khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 6,000 naskhah akhbar Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times akan diedarkan secara percuma sepanjang 10 hari penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang bermula hari ini.
Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Projek Khas The New Straits Times Press (NSTP), Tengku Kaifimirza Tuan Cherit berkata, sebanyak 600 akhbar terbitan NSTP itu akan diedarkan setiap hari sehingga 7 Jun.
“Kita akan bagi kepada semua yang hadir pada pesta buku. Setiap tahun, kita buat perkara sama.
“Tujuan kita berikan akhbar ini secara percuma ini adalah sebagai tanda sokongan kepada pesta buku dan bagi menggalakkan pengunjung yang hadir untuk membaca,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa PBAKL 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Tengku Kaifimirza dalam masa sama turut memaklumkan, pihaknya merancang untuk menganjurkan pertandingan Cosplay sempena PBAKL.
Bagaimanapun katanya, setakat ini ia masih dalam perancangan dan sekiranya ia menjadi kenyataan, pihaknya akan memaklumkan perkara itu pada Rabu depan.
“Tujuan kita mahu buat pertandingan ini untuk menarik minat pelajar dan golongan muda. Kita sasarkan mereka agar mereka mengenali jenama NSTP ini.
“Insya-Allah kita akan memaklumkan kepada masyarakat pada Rabu depan dan hari Ahad pemenang akan diumumkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




