harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sedang meneliti aduan diterima berhubung proses penilaian dan kerja naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam kenyataan berkata, isu itu dalam perhatian suruhanjaya itu untuk siasatan lanjut dan pihaknya sedang meneliti maklumat serta dokumen berkaitan.
“SPRM sentiasa memandang serius sebarang dakwaan yang mempunyai unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan melibatkan kepentingan awam serta perolehan kerajaan.
“Kerjasama mana-mana pihak dialu-alukan, mereka yang mempunyai maklumat berkaitan tampil membantu siasatan bagi memastikan proses penelitian dapat dijalankan secara menyeluruh dan professional,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut SPRM, pihak yang mempunyai maklumat berkaitan penyelewengan atau rasuah boleh menyalurkan secara terus kepada agensi itu dan diminta tidak mendedahkannya kepada mana-mana pihak lain.
Katanya, hal itu bukan sahaja untuk mengelakkan kebocoran maklumat malah bagi memastikan proses siasatan SPRM tidak terganggu.
Terdahulu sebuah portal media tempatan melaporkan seorang kontraktor membuat laporan berhubung isu naik taraf Stadium Nasional Bukit Jalil bernilai RM24 juta yang dibangkitkan baru-baru ini.
Laporan berita itu mendakwa, aduan tertumpu kepada dua tender berkaitan persiapan Sukan SEA 2027 melibatkan trek larian baharu dan sistem lantai pelindung yang digunakan semasa konsert serta acara besar.
© New Straits Times Press (M) Bhd




