Harga emas jatuh ke paras terendah dalam tempoh dua bulan

Harga emas jatuh ke paras terendah dalam tempoh dua bulan

BENGALURU – Harga emas merosot ke paras terendah dalam tempoh dua bulan pada hari ini apabila tindakan ketenteraan baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran mengukuhkan nilai dolar AS serta mendorong kenaikan harga minyak, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap tekanan inflasi dan prospek kadar faedah yang lebih tinggi.

Setakat jam 7.40 pagi GMT, harga emas spot susut 1.5 peratus kepada AS$4,388.76 seauns selepas mencatatkan paras terendah sejak 26 Mac.

Sementara itu, niaga hadapan emas AS bagi penghantaran Jun turun 1.4 peratus kepada AS$4,386 seauns. Pengukuhan dolar AS ke paras tertinggi dalam tempoh seminggu turut menjadikan emas lebih mahal kepada pelabur yang menggunakan mata wang lain.

Penganalisis kanan StoneX, Matt Simpson berkata, ketegangan geopolitik masih berada pada tahap tinggi dan rundingan damai setakat ini belum memberikan petunjuk yang jelas.

Menurutnya, keadaan itu dijangka terus menyokong kekuatan dolar AS, sekali gus memberi tekanan kepada harga emas dalam tempoh terdekat.

Dalam perkembangan berkaitan, tentera AS dilaporkan melancarkan serangan terhadap sebuah tapak ketenteraan di Iran yang didakwa mengancam keselamatan pasukan AS serta laluan perkapalan komersial di Selat Hormuz, menurut seorang pegawai negara itu.

Serangan berkenaan berlaku beberapa jam selepas Presiden Donald Trump menolak dakwaan Iran mengenai kewujudan perjanjian bagi memulihkan aliran trafik di laluan strategik tersebut.

Pada masa sama, harga minyak melonjak lebih tiga peratus selepas Pengawal Revolusi Iran memaklumkan bahawa mereka telah menyasarkan sebuah pangkalan udara AS sebagai tindak balas terhadap tindakan Washington.

Kenaikan harga minyak mentah berpotensi meningkatkan tekanan inflasi dan menyebabkan kadar faedah kekal tinggi untuk tempoh yang lebih lama.

Walaupun emas sering dianggap sebagai aset lindung nilai terhadap inflasi, persekitaran kadar faedah yang tinggi lazimnya mengurangkan daya tarikannya kerana logam berharga itu tidak menawarkan pulangan atau hasil.

Gabenor Rizab Persekutuan AS, Lisa Cook, berkata bank pusat negara itu wajar mengekalkan kadar faedah jangka pendek pada masa ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa faktor seperti tarif, konflik Iran dan peningkatan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang menyumbang kepada kenaikan harga boleh mendorong tindakan menaikkan kadar faedah sekiranya diperlukan.

Pelabur kini menantikan pengumuman data Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang dijadualkan dikeluarkan hari ini bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan.

Dalam pasaran logam berharga lain, harga perak spot susut 1.7 peratus kepada AS$73.36 seauns, manakala platinum turun 1.1 peratus kepada AS$1,897.80 seauns.

Kedua-dua logam tersebut turut mencatatkan paras terendah hampir sebulan sebelum ini. Palladium pula menyusut 1.2 peratus kepada AS$1,373.58 seauns. – Agensi

Scroll to Top