Petaling Jaya: Setiap kali konflik di bumi Palestin memuncak, mata dunia secara automatik akan tertumpu ke arah sebuah bangunan pencakar langit di Manhattan, New York. Di sanalah terletaknya Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebuah institusi yang ditubuhkan pada tahun 1945 atas satu janji keramat: “Memastikan malapetaka perang tidak akan berulang lagi.” Tetapi apabila melihat keadaan yang berlaku di Semenanjung Gaza dan tangisan anak-anak di Tebing Barat, timbul satu persoalan yang semakin membakar minda masyarakat global. Adakah PBB itu adalah benar-benar sebuah pentas yang menentukan untuk membela kemanusiaan atau ia sekadar sebuah tayangan sandiwara yang sudah ditulis dan dikawal oleh segelintir kuasa besar dunia? Akar kepada segala kegagalan PBB dalam menyelesaikan isu Palestin terletak pada struktur dalamannya sendiri khususnya di Majlis Keselamatan PBB (UNSC). Majlis ini mempunyai lima ahli tetap iaitu Amerika Syarikat,
United Kingdom, Perancis, Rusia dan China yang masing-masing memegang senjata politik paling berbahaya seperti Kuasa Veto. Kuasa veto itu memberi maksud walaupun 190 negara lain di dunia bersetuju untuk menghentikan keganasan atau mengiktiraf kedaulatan Palestin setelah itu, undian tersebut boleh terbatal dalam sesaat sekiranya salah satu daripada lima kuasa besar ini menggelengkan kepala. Sejarah telah merekodkan puluhan kali resolusi mendesak gencatan senjata dan mengutuk kekejaman rejim Israel tumbang begitu sahaja akibat veto. Apabila kepentingan geopolitik mengatasi nyawa manusia, undang-undang antarabangsa bertukar menjadi tumpul dan seperti tiada kuasa. Bagi generasi muda hari ini, sistem ini dilihat bukan lagi sebagai keadilan sebaliknya satu bentuk buli politik yang dilegalkan di pentas moden. Di satu sudut lain, kita melihat ada sinar harapan menerusi institusi kehakiman dunia seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Penemuan dan perintah interim oleh ICJ yang menyiasat dakwaan genosid serta waran tangkap yang dikeluarkan oleh ICC terhadap pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab, membuktikan bahawa naratif perundangan mula menyebelahi Palestin. Oleh itu, di sinilah letaknya paradoks terbesar. Di atas kertas, keputusan mahkamah ini kelihatan tegas. Namun di lapangan, badan kehakiman ini tidak mempunyai “taring fizikal” atau pasukan penguatkuasa sendiri untuk melaksanakannya. Apabila rejim yang bersalah memilih untuk mengabaikan keputusan mahkamah dengan sokongan padu sekutu antara ICJ dan ICC sekadar menjadi arkib dokumen penderitaan yang tidak mampu mengubah realiti kereta kebal di Gaza. Meskipun struktur politik PBB kelihatan lumpuh, ini adalah tidak adil untuk menafikan peranan agensi kemanusiaan mereka seperti UNRWA dan OCHA.
Malangnya, setakat Mei 2026, laporan OCHA menunjukkan dana bantuan kritikal untuk Palestin masih kritikal di bawah paras minimum manakala sekatan teknikal terhadap kemasukan alat ganti generator dan minyak enjin telah menyebabkan sistem kumbahan dan sisa di Khan Younis lumpuh, mendedahkan jutaan pelarian kepada krisis kesihatan yang buruk. Kegagalan di peringkat atasan ini telah mencetuskan impak luar jangka seperti gelombang kesedaran global yang paling luar biasa dalam sejarah. Sempadan diplomasi dunia kini mula beralih. Sehingga pertengahan 2026, majoriti besar mutlak daripada 193 negara anggota PBB kini telah mengiktiraf kedaulatan Negara Palestin. Gelombang pengiktirafan ini bukan lagi hanya datang daripada blok Asia atau Arab tetapi turut digerakkan oleh negara-negara Eropah seperti Sepanyol, Ireland, Norway dan Slovenia yang memilih untuk memihak kepada keadilan moral berbanding tekanan politik sekutu tradisi mereka.
Masyarakat sivil di seluruh dunia daripada golongan veteran sehinggalah mahasiswa Gen-Z di kampus-kampus universiti kini bersatu menggunakan kuasa digital dan ekonomi mereka. Memboikot pengguna, demonstrasi aman dan tekanan berterusan ke atas syarikat-syarikat yang mendanai aparteid telah membuktikan bahawa kuasa rakyat mampu bergerak lebih laju daripada birokrasi PBB. PBB hari ini berada di persimpangan jalan sejarah yang amat kritikal. Jika institusi ini terus membiarkan kuasa veto merantai nilai kemanusiaan, ia bakal menerima nasib yang sama seperti Liga Bangsa-Bangsa terdahulu reput dan menjadi tidak relevan. Palestin bukan sekadar subjek konflik wilayah, ia adalah cermin yang memantulkan wajah sebenar keadilan global. Dunia hari ini tidak lagi boleh bergantung kepada sandiwara politik meja bulat lima kuasa besar. Sudah tiba masanya sistem tadbir urus dunia dirombak agar suara majoriti mutlak umat manusia benar-benar mengatasi kepentingan geopolitik segelintir elit yang kebal. Selagi perubahan ini tidak berlaku, selagi itulah sekeping kertas resolusi PBB akan terus tumpas di hadapan titisan darah mangsa kezaliman. Sesi rundingan Jawatankuasa Hak Palestin PBB bersama NGO Eropah menunjukkan bagaimana desakan dan mobilisasi masyarakat sivil di Eropah kini semakin kuat mendesak pematuhan undang-undang antarabangsa bagi menamatkan penderitaan di Gaza.
Oleh: NURAISHAH BINTI MOHD SHAFIEE
MAHASISWA JABATAN SEJARAH, TAMADUN DAN PENDIDIKAN ISLAM,
AKADEMI PENGAJIAN ISLAM, UNIVERSITI MALAYA



