Terperangkap dalam kebakaran rumah, pemuda melecur teruk terpaksa ditidurkan

Terperangkap dalam kebakaran rumah, pemuda melecur teruk terpaksa ditidurkan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang pemuda berusia 20-an yang melecur teruk akibat kebakaran sebuah rumah di Taman Scientex, Pasir Gudang di sini, hari ini, terpaksa ditidurkan.

Ahli keluarga pemuda berkenaan berkata mangsa kini bergantung kepada bantuan pernafasan.

“Sudilah kiranya sahabat semua mendoakan kesembuhan buat anak saudara saya, Iffat yang terperangkap dalam kebakaran di rumah mereka beberapa jam lalu.

“Hanya Iffat yang berada di dalam rumah pada waktu kejadian.

“Moga Allah angkat doa kalian dan menjadi asbab kesembuhan buat Iffat.

“Mohon doakan juga semoga adik ipar saya dan keluarga dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian berat ini.

“Tiada daya upaya kami melainkan dengan bantuan dari-Mu Ya Allah,” katanya menerusi perkongsian di Facebook (FB) hari ini.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Johor berkata, kebakaran membabitkan rumah teres dua tingkat yang musnah kira-kira 80 peratus.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.59 petang, dan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang.

“Kebakaran membabitkan rumah teres dua tingkat yang musnah kira-kira 80 peratus.

“Dalam kejadian, dua individu melecur termasuk penghuni rumah dan jiran yang ingin membantu mangsa.

“Namun kecederaan dialami jiran tidak serius. Pihak bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, wakil penduduk di kawasan berkenaan berkata, salah seorang mangsa yang melecur difahamkan berada di tingkat dua kediaman itu ketika kejadian.

“Difahamkan kebakaran bermula dari tingkat bawah, mungkin mangsa sedang berehat di tingkat atas.

“Kami belum mengunjungi keluarganya kerana memahami situasi dialami mereka yang mungkin masih terkesan daripada segi emosi akibat musibah yang berlaku,” katanya ketika dihubungi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top