puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Apa yang menjadi hasrat saya, semuanya sudah disampaikan pada malam itu juga,” kata penyanyi, Shiha Zikir mengenai tawaran untuk menghasilkan sebuah lagu buat anak kepada pelakon Amyza Aznan, Adrian Adam.
Shiha atau nama sebenarnya Nur Shiha Mohd Zikir, 39, berkata, dia berpuas hati kerana sekurang-kurangnya hasratnya untuk menghadiahkan sebuah lagu buat Adrian akhirnya tertunai.
Menurutnya, dia antara individu terawal yang mendekati remaja berkenaan sejurus menonton persembahan Talk To My Manager 2 (TTMM 2), baru-baru ini dan kini menyerahkan segala keputusan di tangan Amyza serta Adrian.
“Saya rasa saya antara yang terawal approach (menghampiri) mereka. Saya juga sudah menyiapkan kontrak untuk Adrian yang mana kita akan hadiahkan lagu berserta promosi sekali.
“Bagaimanapun, semuanya berbalik kepada keputusan mereka. Saya serah sahaja siapa yang akan menjadi pilihan mereka. Apa yang penting, saya puas hati kerana sudah meluahkan hasrat itu.
“Selebihnya terpulang kepada mereka dan saya faham setiap orang mempunyai cita rasa serta kemahuan tersendiri untuk bekerjasama dengan sesiapa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Bercerita lanjut mengenai perkembangan projek berkenaan, Shiha mendedahkan lagu khas buat Adrian sebenarnya sudah siap dari segi lirik dan melodi.
“Lagu sebenarnya sudah ada, dari segi lirik dan melodi memang sudah siap, sekarang saya hanya menunggu keputusan daripada pihak mereka. Jika ada rezeki saya, Alhamdulillah. Kalau tiada, tidak mengapa,” katanya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Jagakan Dia ini turut menitipkan doa agar Adrian terus kuat dan sukses dalam bidang seni memandangkan remaja itu memiliki bakat yang besar.
“Saya cuma mendoakan yang terbaik untuk Ian (Adrian) kerana kita semua tahu dia memang berbakat. Saya harap dia mendapat lagu yang dia mahu, dia suka dan terus sukses.
“Saya juga berharap bidang seni ini sedikit sebanyak dapat menguatkan dirinya. Ramai yang mendoakan kesihatan serta kekuatan buat Ian dan juga Kak Amyza,” katanya lagi.
Terdahulu, Shiha menerusi satu hantaran di Threads memaklumkan dia akan mencipta sebuah lagu khas buat Adrian, selepas hasratnya sebelum ini tidak sempat direalisasikan untuk anak sulung Amyza iaitu Allahyarham Andre.
Dalam pada itu, selain Shiha, penyanyi dan juga komposer terkenal, Aisha Retno turut mempunyai hasrat untuk menghadiahkan sebuah lagu ketuhanan buat Adrian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




