Tidak kisah lewat untuk adakan konsert solo pada usia hampiri setengah abad

Tidak kisah lewat untuk adakan konsert solo pada usia hampiri setengah abad

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Berulang-alik dari Bali, Indonesia ke Kuala Lumpur sejak September tahun lalu, Nourul Depp, 49, tidak menyangka penantiannya untuk Konsert For You Nourul semakin menghampiri ke titik terakhir.

Ibu empat cahaya mata ini mengakui dalam perasaan gementar menghitung tarikh ‘show’ yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, namun teruja kerana konsert solo berkenaan anjuran syarikatnya, ND Entertainment.

“Mula-mula dulu masa merancang konsert ini, saya fikir tidak apalah sebab masa panjang dan lambat lagi. Tetapi, sekarang tidak disangka sudah makin hampir dan kurang seminggu untuk buat persediaan sepenuhnya.

“Sejak September tahun lalu, saya sering berulang-alik ke Kuala Lumpur turun naik penerbangan dari Bali, Indonesia kerana sudah menetap di sana dari 2023 untuk uruskan banyak perkara sebab konsert ini adalah impian besar saya.

“Sebagai penyanyi, sejak saya muncul dengan album pertama dulu memang sudah ada impian nak ada konsert solo sendiri. Sebab, kita selalu juga pergi tengok konsert penyanyi lain dan rasa seronok.

“Boleh dikatakan 32 tahun lalu, saya pernah pergi tengok konsert Ella, konsert Awie dan Wings, Search semuanya sebab nak jadi ‘rock star’. Maka, terdetik dalam hati ‘best’ kalau saya pun dapat buat (konsert) macam ini,” kata Nourul atau nama sebenar Noorulhuda Abdul Wahab ketika ditemui pada sesi latihan konsertnya baru-baru ini.

Nourul berkata walaupun konsert solonya dirasakan semacam ‘lewat’ dianjur selepas tiga dekad pembabitan dalam industri hiburan tanah air, tetapi tidak mengapa daripada tiada langsung berpeluang.

“Walaupun kira-kira 15 tahun juga saya memperlahankan karier seni kerana menguruskan perniagaan dan perihal peribadi, namun perancangan ke arah merealisasikan impian konsert solo saya tetap tersemat di hati.

“Alhamdulillah, Allah makbulkan dan detik indah ini akan hadir juga tidak lama lagi. Malah, memang ada rutin yang ketat tetapi saya sudah aturkan mengikut macam mana diingin sebagai penganjur dan juga penyanyi.

“Sejak sebulan lalu, saya sudah giat membuat latihan vokal dan menyanyi untuk mempersiapkan diri bagi konsert nanti. Bagaimanapun, semua urusan kerja saya kendalikan secara berpasukan berjalan lancar.

“Ini kerana, saya buat Konsert For You Nourul ini adalah sebagai ‘review’ terhadap fasa kematangan saya sebagai insan bernama Noorulhuda, sebagai wanita, ibu, penyanyi dan juga seorang isteri.

“Apapun, pada saya inilah usaha dan masanya yang sudah tiba ditetapkan Allah untuk saya. Dalam menghadapi pelbagai cabaran seperti abang saya disahkan sakit dan penajaan untuk konsert pun susah nak masuk, tetapi akhirnya dapat juga dihadapi.

“Allah memang ringankan setiap ujian itu. Walaupun ada juga saya tidak tidur malam mungkin kerana penat tetapi pesanan daripada suami saya, Eric Depp tidak pernah dilupakan agar kalau buat sesuatu kena seronok.

“Jadi, saya sentiasa pastikan ‘enjoy’ melalui pengalaman yang dihadirkan sepanjang mahu merealisasikan Konsert For You Nourul ini tanpa terlalu memikirkan tekanan secara melampau,” katanya.

Jelas penyanyi lagu Kerana Terluka dan Cinta Azali ini, tekanan memang ada dan tidak boleh dielakkan tetapi, ia sekadar tekanan biasa sahaja sekali gus mampu diatasi dengan baik dan berkesan.

Pada Konsert For You Nourul juga, wanita asal Pulau Pinang ini turut mengetengahkan bakat nyanyian anak lelakinya, Zachary, 13, yang diundang sebagai penyanyi lelaki jemputan teristimewa.

Nourul bertemu jodoh kali kedua dengan lelaki asal Perancis, Eric Depp pada 2012 dan hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zachary, Raphael, 11, dan Isabella, 7.

Selain itu, menerusi perkahwinan pertamanya Nourul juga mempunyai seorang anak perempuan, Ayu Nazirah kini berusia 27 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top