Djokovic beri bayangan mungkin ucap selamat tinggal di Roland Garros

Djokovic beri bayangan mungkin ucap selamat tinggal di Roland Garros

Paris: Novak Djokovic memberi bayangan masa depannya di Terbuka Perancis mungkin sudah berada di penghujung selepas tersingkir secara dramatik di tangan sensasi muda Brazil, Joao Fonseca awal pagi tadi.

Legenda Serbia berusia 39 tahun itu mengakui tidak pasti sama ada akan kembali beraksi di Roland Garros musim depan selepas tewas dalam pertarungan epik hampir lima jam pada pusingan ketiga.

Ditanya mengenai peluangnya kembali ke Paris tahun depan, Djokovic hanya menjawab ringkas “Saya tidak tahu.”

Kekalahan 4-6, 4-6, 6-3, 7-5, 7-5 kepada Fonseca bukan saja mengejutkan dunia tenis, malah mencetus persoalan mengenai masa depan pemenang 24 gelaran Grand Slam itu di gelanggang tanah liat terkenal berkenaan.

Djokovic yang juga juara Roland Garros tiga kali mengakui dia sebenarnya mempamerkan aksi berkualiti, namun faktor keletihan mula menghantuinya menjelang penghujung perlawanan.

“Saya bermain tenis yang sangat baik, tetapi beberapa kali saya rasa seperti hampir tidak mampu berdiri pada penghujung perlawanan,” katanya.

Untuk rekod, perlawanan menentang Fonseca itu turut tercatat sebagai aksi paling panjang pernah diharungi Djokovic di Terbuka Perancis dengan tempoh empat jam 53 minit.

Lebih memeritkan, ia juga hanya kali kedua Djokovic gagal mempertahankan kelebihan dua set di Roland Garros selepas pernah mengalami situasi sama ketika menentang Jurgen Melzer pada edisi 2010.

Djokovic sebelum ini turut bergelut dengan kecederaan selama tiga bulan dan faktor usia jelas mula menjadi cabaran besar buat bekas pemain nombor satu dunia itu.

Sekiranya kembali musim depan, Djokovic akan menyertai kelompok kecil pemain yang masih beraksi di Roland Garros pada usia 40 tahun dalam era moden tenis.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top