Hukum tembak haiwan korban mengganas dibolehkan jika darurat – Pakar Fiqh UKM

Hukum tembak haiwan korban mengganas dibolehkan jika darurat – Pakar Fiqh UKM

SHAH ALAM – Hukum menembak haiwan korban yang lari, mengganas atau sukar dikawal adalah dibolehkan sekiranya terdapat keperluan, dengan syarat tujuan tembakan tersebut adalah untuk melemahkan serta mengawal haiwan berkenaan, bukan untuk membunuhnya sebelum sempat disembelih.

Menurut Fiqh Fatwa Kontemporari, Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, hukum tersebut berpandukan dalil hadis sahih berkaitan kejadian unta liar yang terlepas.

Beliau memetik hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi haiwan-haiwan ini ada sifat liar seperti binatang buas. Maka apabila ia mengatasi kamu, lakukanlah terhadapnya seperti ini.” (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim).

“Dalam hadis tersebut seekor unta korban telah lari sebelum seorang sahabat memanahnya sehingga ia dapat ditangkap,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan terdapat beberapa syarat yang perlu dipatuhi dalam keadaan sedemikian.

“Antaranya, haiwan tersebut mesti masih hidup selepas ditembak.

“Selain itu, haiwan berkenaan hendaklah segera disembelih secara syarie selepas dikawal,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, jika tembakan tersebut menyebabkan haiwan mati sebelum sempat disembelih, hukumnya bergantung kepada keadaan darurat dan keperluan.

“Jika benar-benar darurat dan tiada cara lain, sebahagian ulama mengharuskan keadaan itu serta menganggapnya halal dimakan, namun perkara tersebut perlu dirujuk kepada Jabatan Mufti negeri berkenaan bagi menentukan status sama ada sah sebagai korban atau tidak, ” ujarnya lagi.

Namun jika haiwan mati akibat kecuaian atau sengaja dibunuh tanpa melalui proses sembelihan, ia tidak dianggap sah sebagai korban.

Terdahulu media melaporkan, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah tampil memberi penjelasan berhubung video tular beliau menembak seekor lembu yang sedang mengamuk pada program korban perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis.

Abu Bakar berkata, lembu berkenaan yang terlucut tali telah mengamuk dan boleh mengundang mudarat atau bahaya kepada para petugas sebagaimana berlaku di tempat lain sehingga ada menyebabkan kematian.

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis itu, beliau hanya menembak ke arah kaki lembu dan selepas itu proses penyembelihan dilakukan seperti biasa.

Scroll to Top