SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor menyifatkan kenyataan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu yang mendakwa parti itu dijangka ‘lenyap’ di Selangor pada pilihan raya akan datang sebagai tidak berasas dan berunsur tuduhan politik.
Pengarah Komunikasi Amanah Selangor, Abbas Salimi Azmi berkata, pihaknya memandang serius kenyataan tersebut yang turut dikaitkan dengan isu pentadbiran negeri, khususnya melibatkan Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor.
Menurut beliau, Amanah menolak sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan isu penternakan babi di negeri itu sebagai punca kepada prestasi politik parti berkenaan pada masa hadapan.
“Seharusnya Saudara Ronnie Liu memahami isu ini mendapat perhatian Kebawah Duli Tuanku Sultan Selangor,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau merujuk kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mengarahkan segala aktiviti berkaitan penternakan babi di negeri itu dihentikan susulan isu pencemaran dan kepentingan kesihatan awam.
Tambahnya, kebimbangan turut berpunca daripada risiko penularan penyakit African Swine Fever (ASF) yang sedang berleluasa di beberapa negara dan memberi kesan kepada industri ternakan.
Sehubungan itu, beliau berkata, titah Sultan Selangor adalah bertepatan dengan keadaan semasa dan perlu dipatuhi oleh semua pihak tanpa dipolitikkan.
“Amanah Selangor turut menyifatkan kenyataan Ronnie Liu sebagai tidak beretika kerana didakwa tidak memahami konsep Rukun Negara serta sistem pentadbiran negeri dan Persekutuan,” ujarnya.
Menurutnya, Ronnie Liu juga pernah menjadi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini, justeru seharusnya lebih memahami proses dan keputusan dasar kerajaan negeri.
Namun, ujarnya, nada kenyataan bekas pemimpin DAP itu kini dilihat berubah seolah-olah tidak lagi mengambil kira pengalaman beliau dalam pentadbiran negeri.
Amanah Selangor menegaskan rakyat kini lebih cenderung menilai kewibawaan dan keupayaan pemimpin dalam melaksanakan tanggungjawab berbanding bermain retorik politik.
Dalam masa sama, parti itu menyifatkan tuduhan terhadap Exco Pertanian dan Infrastruktur Selangor, Datuk Ir Izham Hashim sebagai melampau dan tidak berasas.
“Amanah Selangor turut menuntut Ronnie Liu menarik balik kenyataan tersebut serta membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Jika tidak, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang,” tegasnya.
Kenyataan itu merupakan respons susulan terhadap dakwaan Ronnie Liu bahawa Amanah dijangka akan lenyap di Selangor pada pilihan raya akan datang susulan kontroversi isu penternakan babi yang dikaitkan dengan Exco berkenaan.
Terdahulu, kerajaan negeri Selangor memaklumkan proses pengosongan ladang ternakan babi di Tanjong Sepat kini berada di fasa akhir dengan baki kira-kira 11,000 ekor ternakan masih berada di bawah seliaan 30 ladang.
Exco terbabit memaklumkan bahawa baki ternakan tersebut sedang menunggu tempoh kematangan sebelum proses pelupusan atau penyembelihan dilakukan sepenuhnya dalam masa terdekat.
Sejak arahan penutupan dikeluarkan pada Februari lalu, pemantauan ketat turut dilaksanakan bagi memastikan tiada kemasukan benih atau anak babi baharu ke kawasan terlibat.



