Pertukaran tugas Nurul Izzah perkara biasa, ikut keperluan – AMK

Pertukaran tugas Nurul Izzah perkara biasa, ikut keperluan – AMK

PADANG RENGAS: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan mereka yang mempersoalkan mengapa Nurul Izzah Anwar tidak dilantik sebagai pengarah pilihan raya PKR adalah orang yang ‘sakit hati’ terhadap parti itu.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pertukaran penugasan dalam parti politik satu hal biasa mengikut keperluan keadaan semasa.

Jelasnya, Nurul Izzah sendiri sudah terbukti berjaya mengepalai jentera parti itu semasa Pilihan Raya Umum 2018 sehingga membolehkan Pakatan Harapan menumbangkan parti kerajaan.

“Yang bangkitkan isu ini orang yang sakit hati. Tidak timbul isu tentang soal tidak boleh buat kerja. Ini adalah rombakan strategik untuk memastikan gerak kerja pilihan raya itu dapat dijalankan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri program Sukan Belia dan Karnival Belia Madani Padang Rengas di sini hari ini.

Pada 26 Mei lalu, PKR mengumumkan pelantikan Naib Presiden parti, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Pengarah Pilihan Raya Bersama parti itu.

Keadaan itu menimbulkan cakap-cakap kononnya Nurul Izzah yang juga anak kepada Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berkemampuan mengetuai jentera PKR bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 yang dianggap sangat sengit.

Muhammad Kamil berkata, Amirudin juga seorang yang berkelayakan dari segi pengalaman menguruskan organisasi pilihan raya.

“Dia mempunyai punya pengalaman yang lama sebelum ini bergerak sebagai pengarah operasi pilihan raya. Saya yakin beliau boleh laksanakan tugas dan tanggungjawab ini dengan baik. – UTUSAN

Scroll to Top