KELAB gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool FC mengesahkan bahawa pengendali pasukan, Arne Slot bakal meninggalkan peranannya sebagai ketua jurulatih berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi satu kenyataan rasmi kelab, keputusan tersebut telah dipersetujui dan proses untuk melantik pengganti baharu kini sedang berjalan.
Slot, yang menyertai The Reds pada Jun 2024, telah mempamerkan impak luar biasa apabila berjaya menghadiahkan kejuaraan liga ke-20 buat kelab itu pada musim pertamanya membimbing pasukan (2024-25).
Pencapaian cemerlang tersebut turut menyaksikan dia dinobatkan sebagai Pengurus Terbaik Tahunan Persatuan Pengurus Liga (LMA), selain membimbing Liverpool mara ke perlawanan akhir Piala Liga serta pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah.
Pada musim ini, pengendali dari Belanda itu memastikan Liverpool sekali lagi layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah buat dua musim berturut-turut di samping membawa pasukan melangkah sehingga ke peringkat suku akhir kejohanan berprestij berkenaan.
Namun, di peringkat domestik Liverpool gagal menyerlah dan mengakhiri saingan liga di kedudukan kelima selain gagal memenangi sebarang trofi.
Dalam pada itu, pihak pengurusan tertinggi Liverpool menerusi satu kenyataan bersama menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga ke atas kejayaan serta kepimpinan yang dipamerkan oleh Slot sepanjang dua tahun menerajui kelab di Anfield.
“Keputusan ini sememangnya amat sukar untuk dibuat oleh kami sebagai sebuah kelab. Sumbangan yang diberikan oleh Arne sepanjang bersama Liverpool FC amat besar, bermakna dan paling utama bagi penyokong serta pihak kami, beliau telah membawa kejayaan.
“Sehubungan itu, penghargaan kami terhadap segala pencapaian beliau adalah amat tinggi, terutamanya kerana ia didorong oleh etika kerja keras, ketekunan, dan tahap kepakaran yang membuktikan pandangan kami bahawa beliau adalah seorang pemimpin dalam bidangnya.
“Sejak pertemuan pertama kami dengan Arne, adalah sangat jelas bahawa beliau merupakan seorang individu yang bukan sekadar menerima tanggungjawab, malah menggalasnya dengan baik. Ini terbukti apabila beliau bersetuju untuk menggalas tugas sebagai ketua jurulatih, membawa kami menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris, dan sepanjang musim yang baru berakhir di mana beliau menghadapi cabaran serta bebanan yang besar,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, pihak pengurusan menjelaskan bahawa perubahan taktikal dan hala tuju baharu adalah perlu demi kelangsungan masa depan kelab.
“Kami secara kolektif telah mencapai kesimpulan bahawa perubahan adalah perlu demi memastikan kelab terus melangkah ke hadapan. Sekali lagi, ingin ditekankan bahawa keputusan ini tidak dibuat secara mudah.
“Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Arne, yang akan sentiasa mendapat tempat istimewa dalam sejarah kelab ini sebagai jurulatih yang memberikan gelaran liga ke-20 buat Liverpool.
“Pencapaian luar biasa itu yang lebih hebat kerana dicapai pada musim pertamanya dibina atas bimbingan dan kepimpinan luar biasa setiap hari.
“Beliau juga membantu membimbing kelab mengharungi salah satu tempoh paling sukar susulan kehilangan Diogo. Sifat empati dan kemanusiaan yang ditunjukkannya sepanjang tempoh itu menceritakan banyak perkara tentang keperibadian beliau sebagai seorang manusia.
“Oleh itu, kami mendoakan yang terbaik buat Arne dalam fasa seterusnya dalam kerjaya kejurulatihan beliau, dan kami menjangkakan beliau akan terus mengecap kejayaan. Kami melepaskannya dengan penuh kesedaran bahawa legasinya di Liverpool tetap terpelihara dan akan menjadi lebih bermakna pada tahun-tahun mendatang,” kata kelab itu.



