
Kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut diraikan penuh meriah malam ini. Foto Johor Southern Tiger
ISKANDAR PUTERI – Kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut diraikan penuh meriah malam ini dengan pertunjukan bunga api dan persembahan dron bercahaya pada sambutan “JDT Realm of 12” di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.
Berangkat tiba, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Kelab JDT dan isterinya, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Majlis penyerahan trofi Liga Super disempurnakan oleh Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sebanyak 32,230 penyokong membanjiri stadium bagi menyaksikan sambutan itu yang turut diserikan dengan persembahan artis antarabangsa seperti 50 Cent, Onefour, Big Ben serta kumpulan tarian Jabbawockeez dan The Royal Family.
Sambutan berkenaan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menerusi Karnival “FanFest” yang berlangsung pada sebelah pagi dan petang, termasuk persembahan artis tempatan seperti Ella, Cherpen, Orkes A. Hizadin, K.O.I, Def Jam Malaysia membabitkan Lil J dan Killa Driz, SonaOne, Plague of Happiness serta cabutan bertuah.
Sambutan “JDT Realm of 12” turut disiarkan menerusi layar gergasi di kawasan “FanFest” di stadium berkenaan.
Program itu diadakan bagi meraikan penyokong Harimau Selatan yang dianggap sebagai pemain ke-12 pasukan dalam kejayaan JDT bagi musim 2025/2026.
Sabtu lepas, JDT melengkapkan kejayaan quadruple apabila menjuarai Piala Malaysia 2025/2026 buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Piala Malaysia menjadi penutup terbaik untuk melengkapkan musim penuh gemilang JDT yang sebelum ini turut memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut selain melakar rekod tanpa kalah dalam 108 perlawanan liga.- Bernama



