Kuala Lumpur: Malaysia perlu mengambil pendekatan lebih selektif dalam meluluskan projek pusat data baharu bagi memastikan pelaburan yang masuk mampu menjana nilai ekonomi lebih tinggi, limpahan teknologi serta pembangunan bakat tempatan.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Thinker Engineering Sdn Bhd, Muhammad Hazim Mohd Halimi berkata, meskipun ledakan pelaburan pusat data membuka peluang besar kepada negara, setiap projek perlu dinilai berdasarkan sumbangannya kepada ekosistem teknologi dan ekonomi domestik.
Katanya, pusat data menggunakan jumlah tenaga, air dan tanah yang besar, justeru kelulusan tidak seharusnya diberikan semata-mata berdasarkan nilai pelaburan yang dibawa masuk.
“Kita perlu memberi keutamaan kepada projek yang menawarkan limpahan teknologi lebih tinggi, kecekapan lebih baik dan sumbangan lebih bermakna kepada ekosistem tempatan berbanding meluluskan semua cadangan yang diterima.
“Malaysia juga perlu memastikan pembangunan pusat data memberi manfaat kepada syarikat tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat teknologi Bumiputera yang masih mempunyai ruang besar untuk berkembang dalam rantaian bekalan industri ini,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, industri pusat data di Malaysia sudah berubah dengan ketara berbanding sedekad lalu apabila kesedaran masyarakat terhadap kepentingan infrastruktur digital semakin meningkat.
“Dahulu agak sukar untuk menerangkan kepada orang ramai mengenai pusat data dan peranan syarikat seperti kami, hari ini, tahap kesedaran jauh lebih tinggi dan perbincangan mengenainya menjadi lebih mudah.
“Selain itu, industri turut berkembang pantas daripada sistem tradisional kepada persekitaran yang bersedia untuk AI dengan penyertaan pelabur antarabangsa yang semakin aktif,” katanya.
Muhammad Hazim berkata, institusi kewangan, syarikat berkaitan tenaga serta pemain infrastruktur kini semakin agresif melabur dalam teknologi AI termasuk perkakasan, perisian dan infrastruktur sokongan seperti pusat data.
Menurutnya, banyak organisasi besar sudah memulakan projek perintis AI secara dalaman dan impak pelaburan tersebut dijangka lebih ketara dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Dalam pada itu, beliau mengakui Malaysia masih berdepan kekurangan tenaga kerja mahir dan jurutera bertauliah dalam sektor pusat data.
Katanya, pendedahan lebih awal di peringkat universiti serta pengukuhan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
“Berbanding sektor minyak dan gas, telekomunikasi atau perbankan, industri pusat data masih baharu bagi kebanyakan rakyat Malaysia.
“Sedangkan operasi pusat data memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi dan banyak tugasan praktikal dalam operasi harian,” katanya.
Beliau berkata, keyakinan pelabur terhadap Malaysia dijangka terus kukuh selagi negara mampu mengekalkan kelebihan sedia ada termasuk ketersediaan tanah, keselamatan tenaga, kestabilan ekonomi serta kejelasan dasar kerajaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologinya, Muhammad Mukri Ramli berkata aspek kemampanan kini menjadi antara pertimbangan utama pelanggan dalam pembangunan pusat data.
Menurutnya, selain prestasi dan kos, pelanggan semakin memberi perhatian terhadap penggunaan tenaga dan air yang lebih cekap serta pematuhan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Kos elektrik menyumbang sekitar 60 hingga 70 peratus daripada perbelanjaan operasi pusat data dan disebabkan itu kecekapan tenaga kini menjadi keutamaan dalam setiap projek yang dibangunkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




