Kemenangan PSG dicemari rusuhan, lebih 300 ditahan di Perancis

Kemenangan PSG dicemari rusuhan, lebih 300 ditahan di Perancis

PARIS – Sambutan kemenangan kelab bola sepak Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah dicemari insiden rusuhan dan pertempuran dengan pihak berkuasa, menyebabkan lebih 300 individu ditahan di seluruh Perancis pada Sabtu.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Perancis, seramai 326 individu ditahan, termasuk 235 orang di Paris, selepas ribuan penyokong membanjiri jalan raya bagi meraikan kejayaan bersejarah pasukan itu menjuarai kejohanan berprestij Eropah berkenaan.

Bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, pihak berkuasa mengerahkan kira-kira 22,000 anggota polis di seluruh negara, termasuk 8,000 anggota di ibu negara, susulan pengalaman kekacauan yang berlaku ketika sambutan kemenangan PSG tahun lalu.

Walaupun majoriti penyokong meraikan kemenangan secara aman, beberapa kumpulan mencetuskan kekecohan dengan merosakkan harta benda awam dan bertempur dengan pasukan keselamatan.

Pihak polis memaklumkan sekurang-kurangnya enam kenderaan dan dua premis perniagaan mengalami kerosakan, manakala seorang anggota polis dilaporkan cedera.

Di kawasan ikonik Champs-Elysees, kira-kira 20,000 penyokong berkumpul sejurus tamat perlawanan yang menyaksikan PSG menewaskan Arsenal menerusi penentuan sepakan penalti di Budapest, Hungary.

Sebagai langkah berjaga-jaga, banyak premis perniagaan menutup dan melindungi tingkap kedai masing-masing bagi mengelakkan kejadian vandalisme seperti yang berlaku dalam sambutan kemenangan tahun lalu.

Polis turut merampas puluhan suar dan kira-kira 100 mercun yang dipercayai digunakan oleh penyokong, selain melaporkan sebuah hentian bas berhampiran Champs-Elysees musnah akibat perbuatan vandalisme.

Sementara itu, keadaan turut tegang di sekitar Stadium Parc des Princes apabila ribuan penyokong yang gagal memasuki stadium berkumpul di luar kawasan tersebut. Beberapa individu dilaporkan membaling objek ke arah anggota keselamatan, manakala sekumpulan penyokong cuba merempuh pintu masuk stadium sebelum berjaya dipatahkan oleh polis.

Menurut saksi di lokasi, polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata selepas mercun dibaling ke arah pasukan keselamatan.

Selain itu, sekumpulan penyokong turut menceroboh lebuh raya lingkaran Paris, Peripherique, sehingga menyebabkan gangguan lalu lintas untuk beberapa ketika.

Insiden berkenaan mencetuskan kritikan daripada tokoh politik kanan Perancis, Marine Le Pen, yang menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang memalukan dan tidak sepatutnya berlaku ketika sambutan kemenangan sukan.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez, mempertahankan tindakan pihak berkuasa dan menegaskan langkah keselamatan yang dilaksanakan berjaya mengawal keadaan daripada menjadi lebih buruk.

PSG dijadual meneruskan sambutan kemenangan pada Ahad menerusi perarakan khas berhampiran Eiffel Tower sebelum diraikan oleh Presiden Perancis, Emmanuel Macron, di Istana Elysee. – Agensi

Artikel Disyorkan

Scroll to Top