Sisa agro-makanan jadi tenaga

Sisa agro-makanan jadi tenaga

surayaroslan@mediaprima.com.my

KRISIS tenaga global yang semakin memuncak terutama di Asia Barat membuka mata banyak negara bahawa kebergantungan kepada bahan api fosil bukan lagi jaminan kestabilan ekonomi jangka panjang.

Ketegangan geopolitik, gangguan rantaian bekalan minyak mentah dan kenaikan mendadak harga tenaga dunia menyebabkan negara pengimport berdepan tekanan besar.

Dalam keadaan itu, sumber tenaga alternatif daripada sisa agro-makanan kini dilihat semakin penting dan strategik.

Apa yang sebelum ini dianggap sekadar sisa buangan sebenarnya mempunyai potensi besar untuk ditukar menjadi tenaga boleh diperbaharui.

Pensyarah Jabatan Sains dan Teknologi Alam Sekitar, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Heikal Ismail berkata, dunia kini perlu bergerak pantas mencari sumber tenaga baharu yang lebih lestari dan stabil.

Menurutnya, kebergantungan berlebihan kepada minyak dan gas menjadikan ekonomi global mudah terdedah kepada krisis geopolitik.

“Asia Barat adalah antara wilayah paling penting dalam rantaian bekalan tenaga dunia. Apabila berlaku konflik atau gangguan bekalan, harga minyak meningkat dan kesannya turut dirasai negara lain termasuk Malaysia.

“Disebabkan itu, pembangunan tenaga alternatif berasaskan sumber tempatan seperti sisa agro-makanan perlu diberi perhatian serius,” katanya.

Beliau berkata, sektor agro-makanan dunia menghasilkan kira-kira 4.6 bilion tan sisa setiap tahun dan sebahagian besarnya masih tidak diurus secara lestari.

Katanya, sisa makanan sahaja menyumbang sekitar lapan hingga 10 peratus pelepasan gas rumah kaca global.

“Dalam masa sama, sisa pertanian seperti jerami, hampas tanaman, sisa ladang dan residu industri makanan sebenarnya kaya dengan bahan organik yang boleh ditukar kepada tenaga.

“Melalui teknologi seperti ‘anaerobic digestion’, gasifikasi dan ‘biofuel’, sisa ini boleh menghasilkan biogas serta tenaga elektrik,” katanya.

Menurutnya, teknologi ‘anaerobic digestion’ atau AD antara sistem paling matang digunakan ketika ini untuk menghasilkan tenaga daripada sisa organik.

“Secara purata, satu tan sisa makanan mampu menghasilkan 100 hingga 200 meter padu biogas yang mengandungi metana.

“Gas ini boleh digunakan untuk penjanaan elektrik atau diproses menjadi ‘biomethane’ sebagai pengganti gas asli,” katanya.

Katanya, sebuah loji berskala sederhana yang memproses kira-kira 100 tan sisa makanan sehari mampu menjana antara dua hingga empat megawatt elektrik secara berterusan.

“Jumlah itu cukup untuk membekalkan tenaga kepada ribuan rumah,” katanya.

Katanya, selain AD, teknologi gasifikasi juga menunjukkan potensi besar dalam sektor tenaga hijau.

“Melalui proses ini, sisa tanaman seperti jerami padi, tandan kosong kelapa sawit dan kulit buah boleh ditukar menjadi ‘syngas’ yang mengandungi karbon monoksida, hidrogen dan metana.

“Syngas ini boleh digunakan dalam sistem penjanaan elektrik seperti turbin gas atau enjin pembakaran dalaman.

“Jika diaplikasikan secara meluas, negara boleh mengurangkan kebergantungan kepada import bahan api fosil,” katanya.

Dr Muhammad Heikal berkata, penggunaan sisa agro-makanan sebagai sumber tenaga turut memberi manfaat besar kepada pengurusan sisa pepejal.

“Kos pelupusan sisa di bandar utama dunia sangat tinggi dan boleh mencecah sehingga AS$150 bagi setiap tan.

“Dengan konsep ‘waste-to-energy’, kos pengurusan sisa dapat dikurangkan selain menghasilkan pendapatan baharu melalui jualan tenaga, baja organik dan kredit karbon,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu juga penting dalam usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar.

“Sisa organik yang dibuang ke tapak pelupusan menghasilkan gas metana yang jauh lebih berbahaya berbanding karbon dioksida.

“Jika lebih banyak sisa makanan dialihkan kepada sistem tenaga boleh diperbaharui, pelepasan karbon global dapat dikurangkan dengan ketara,” katanya.

Tambah beliau, krisis tenaga dunia sebenarnya membuka peluang besar untuk negara membangunkan sistem tenaga lebih mampan.

“Sisa agro-makanan tidak lagi boleh dilihat sebagai beban atau bahan buangan semata-mata.

“Ia perlu dianggap sebagai aset strategik yang mampu membantu menjamin keselamatan tenaga, menyokong ekonomi kitaran dan mempercepat agenda neutraliti karbon menjelang 2050,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top