Kuasa pecutan Haval H6 HEV lebih lancar

Kuasa pecutan Haval H6 HEV lebih lancar

lizamridzuan@hmetro.com.my

PASARAN kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-C kini semakin meriah dengan kehadiran pelbagai model dari Jepun, Korea dan Eropah, namun kemunculan Haval H6 HEV memberi dimensi berbeza terutama kepada mereka yang mahukan gabungan prestasi, teknologi serta kecekapan bahan api dalam satu pakej.

Vroom berpeluang memandu uji model hibrid keluaran Great Wall Motor (GWM) ini hadir dengan karakter moden serta imej premium yang sukar diabaikan.

Dari aspek luaran, H6 HEV tampil dengan rekaan agresif dan futuristik terutama bahagian hadapan menampilkan gril besar bercorak ‘mesh’ bersama lampu utama LED yang tajam, sekali gus memberi imej lebih premium berbanding sesetengah pesaing dalam kelasnya.

Profil sisi pula kelihatan kemas dengan rim aloi 19 inci serta garisan badan yang menjadikan SUV ini nampak tegap dan maskulin.

Dimensinya yang besar dengan panjang hampir 4.7 meter dan jarak roda luas turut membantu menghasilkan penampilan lebih matang serta praktikal untuk kegunaan keluarga.

Rekaan belakang yang minimalis dengan lampu LED penuh merentasi bahagian ekor pula memberi sentuhan moden, terutama ketika dipandu pada waktu malam.

Menjengah ke ruang kabin, pendekatan minimalis menjadi fokus utama. Papan pemuka tampil ringkas, tetapi moden menerusi paparan kluster instrumen digital 10.25 inci bersama sistem infotainmen bersaiz 12.3 inci yang mendominasi ruang tengah.

Susun atur fizikal butang juga tidak terlalu sarat, menjadikan kabin nampak lebih kemas dan premium dengan bumbung panorama.

Material dalaman yang digunakan menjadikan ia tampil lebih mahal daripada harga sebenar kenderaan ini. Tempat duduk dibalut kemas dengan sokongan badan yang baik, terutama untuk perjalanan jauh.

Ruang kaki penumpang belakang juga luas, sesuai untuk kegunaan keluarga atau perjalanan balik kampung dengan selesa.

Antara ciri praktikal menarik ialah pengecas telefon tanpa wayar, paparan ‘heads-up display’ (HUD), sistem audio lapan pembesar suara dan kamera pandang sekeliling 360 darjah bersama fungsi ‘transparent chassis’ yang membantu ketika meletakkan kenderaan di ruang sempit.

Ia juga menawarkan ruang but seluas 560 liter, cukup besar untuk memuatkan beberapa bagasi bersaiz besar atau keperluan keluarga. Jika perlukan ruang tambahan, kerusi belakang boleh dilipat bagi meningkatkan kapasiti sehingga 1,485 liter.

Ketika mula dipandu, karakter H6 HEV terus menyerlah terutama dalam pemanduan bandar. Sistem hibridnya menjadikan gerakan awal terasa lancar dan senyap, seolah-olah memandu sebuah EV pada kelajuan rendah.

Tindak balas pedal pendikit juga responsif tanpa rasa berat walaupun saiz SUV ini agak besar.

Prestasi dijana menerusi enjin 1.5 liter turbo hibrid yang dipadankan dengan motor elektrik serta transmisi Dedicated Hybrid Transmission (DHT).

Secara keseluruhan, sistem kuasa ini menghasilkan gabungan output sekitar 243PS dan 530Nm tork, angka yang cukup besar untuk sebuah SUV keluarga.

Di lebuh raya, H6 HEV memberikan keyakinan yang baik ketika memotong kenderaan lain. Kuasa pecutan terasa linear dan pantas, malah sistem hibrid membantu mengurangkan kelewatan turbo yang biasa dirasai pada sesetengah model enjin kecil turbo. Pecutan juga terasa lebih lancar tanpa kejutan mendadak.

Aspek pengendalian pula boleh dianggap memuaskan untuk sebuah SUV keluarga. Talaan suspensinya lebih menjurus kepada keselesaan dengan kemampuan menyerap permukaan jalan tidak rata secara baik.

Pada masa sama, badan kenderaan masih terasa stabil ketika mengambil selekoh pada kelajuan sederhana.

Tahap kesenyapan kabin turut wajar dipuji apabila bunyi angin dan jalan raya berjaya dikurangkan dengan baik. Ini memberi kelebihan terutama untuk perjalanan jauh kerana penumpang tidak cepat penat atau terganggu dengan bunyi luar.

Dari sudut keselamatan, ia tampil dengan pakej lengkap menerusi sistem bantuan pemanduan termaju Tahap 2 (ADAS yang merangkumi Kawalan Jelajah Adaptif, Brek Kecemasan Automatik, Bantuan Kekal Lorong, Amaran Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Pengecaman Tanda Jalan, Kamera Pandang Sekeliling 360 darjah, Enam beg udara, Pemantauan Tekanan Tayar, ISOFIX dan Kawalan Kestabilan Elektronik dan struktur badan berasaskan keluli berkekuatan tinggi bagi meningkatkan perlindungan penumpang ketika berlaku pelanggaran. Dari sudut penggunaan bahan api, sistem hibrid membantu menjadikan penggunaan petrol lebih efisien terutama dalam trafik bandar yang sering berhenti dan bergerak. Ini memberi kelebihan kepada pengguna yang mahu SUV besar, tetapi tidak mahu menanggung kos bahan api terlalu tinggi. Walaupun Haval mendakwa H6 HEV mampu bergerak sehingga sekitar 1,000 kilometer bagi satu isian penuh dalam keadaan pemanduan ideal, pengalaman pandu uji penulis yang membabitkan pelbagai kelajuan dan corak pemanduan menyaksikan SUV ini menawarkan jarak sekitar 600 kilometer, masih munasabah untuk kegunaan harian serta perjalanan jauh. Secara keseluruhan, model ini berjaya menawarkan pakej lengkap membabitkan rekaan moden, kabin premium, prestasi bertenaga serta teknologi keselamatan komprehensif. Ia membuktikan SUV dari China kini bukan lagi sekadar pilihan alternatif, sebaliknya sudah mampu berdiri sebaris pemain arus perdana dalam segmennya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top