Pak Nil rayu tidak pertikai cara Amyza guna sumbangan

Pak Nil rayu tidak pertikai cara Amyza guna sumbangan

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kutipan wang berjumlah RM200,000 yang diserahkan kepada Amyza Aznan bukan untuk rawatan anaknya, Adrian Adam yang menghidap kanser tulang sahaja, sebaliknya untuk kos-kos lain.

Pengacara dan penyampai radio Kool FM, Datuk Aznil Nawawi berkata, dia sudah menutup tabung bantuan untuk anak pelakon berkenaan sejak kelmarin.

Menurutnya, dia berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM196,208.21 daripada orang ramai selain menambah sumbangan peribadinya bagi menggenapkan jumlah itu kepada RM200,000.

“Kutipan itu bukan untuk rawatan sahaja, tetapi untuk kos lain termasuk saraan dan kos harian memandangkan Amyza tidak dapat bekerja di samping suaminya yang kini diuji masalah kesihatan,” katanya kepada Harian Metro.

Aznil juga mengucapkan penghargaan kepada institusi kewangan kerana memudahkan proses kutipan dana sekali gus memantau proses transaksi akaun yang digunakannya.

“Untuk membuka tabung kutipan ini, saya pernah melalui proses untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak bank dan pihak bank tidak sewenang-wenangnya akan memberi kebenaran untuk mengumpul dana awam.

“Bank Negara Malaysia pun tidak membenarkan kutipan daripada sumber yang tidak diketahui.

“Tetapi disebabkan Pak Nil memohon, pihak bank memantau proses itu terutama kemasukan wang setiap hari supaya tidak berlaku penipuan atau kecuaian mahupun transaksi mencurigakan,” katanya.

Katanya, dia sentiasa memuat naik hantaran di media sosial bagi memberikan maklumat terkini mengenai kutipan sumbangan agar tiada pihak yang menimbulkan persoalan dan spekulasi tidak benar.

“Apabila wang itu sudah diserahkan kepada Amyza, saya tidak mahu timbul kata-kata belakang seperti yang pernah berlaku kepada artis lain.

“Kadang-kadang mereka dihina atau diputarbelitkan cara mereka menerima bantuan itu. Saya tidak mahu perkara seperti itu berlaku kepada Amyza. Sebab itu saya selalu jelaskan bahawa Amyza tidak pernah meminta saya melakukannya dan ini inisiatif sendiri.

“Dengan bantuan ini, saya berharap semua yang berinfaq dan menderma dapat mengikhlaskan sumbangan mereka serta berlapang dada dengan cara Amyza menggunakan wang itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top