MV 'Kekasihku Di Menara' tular, Amir Ukays akui tak 'match' dengan lagu

MV 'Kekasihku Di Menara' tular, Amir Ukays akui tak 'match' dengan lagu

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Penerbit buat muzik video (MV) ketika itu tak ikut ‘storyboard’ sebenar. Bila saya tengok masa sudah siap, eh macam tak ‘match’ dengan lagu.”

Begitu kata vokalis Ukays, Amir mengenai muzik video lagu popular mereka berjudul Kekasihku Di Menara yang kembali menjadi perbualan hangat di media sosial, baru-baru ini.

Ini berikutan netizen mendakwa jalan cerita MV berkenaan tidak seiring dengan maksud lagu dan lirik lagu ciptaan sepenuhnya komposer Saari Amri berkenaan.

Amir atau Mohd Azmir Muhammad Yusof, 57, mengakui ada beberapa bahagian dalam MV berkenaan yang dirakam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak kena dengan jalan cerita lagu yang berkisar jurang pasangan bercinta yang berbeza darjat.

“Itu video lama dan saya pun tak sedar sekarang tular semula.. Kami buat video ini pada tahun 1996. Sebenarnya apa yang penerbit buat tak ikut seperti storyboard sebenar.

“Tapi kami akur sajalah pada masa itu sebab orang kata sebagai artis baru memang kami tak ada kuasa nak bantah.

“Jadi kita ikut sajalah. Tapi memang saya sudah agak bila dah siap, saya tengok tak ada kena-mengena dengan jalan cerita. Sekarang jadi bualan pula dan saya tak adalah nak marah atau terasa hati,” katanya.

Dalam MV berkenaan, ia memaparkan seorang lelaki sedang mengejar kekasihnya, bagaimanapun netizen menyifatkan gaya rambut wanita terbabit agak lucu.

Begitu juga paparan lelaki terbabit menolak kereta yang dinaiki kekasihnya dari depan dan belakang.

Selain, kemunculan wanita yang memakai serkup kepala dengan solekan ‘futuristik’ digelar ‘alien kepala ungu’ oleh netizen, menambah lagi kelucuan MV berkenaan.

Ia turut mengundang komen rakan selebriti antaranya Zila Bakarin yang menulis ‘kau pergi bercinta dgn atlet SUKMA siapa suruh…,” yang menerima lebih 15,000 tanda suka dari pelayar.

Dalam perkembangan berkaitan, Amir berkata, Ukays sedang dalam perancangan untuk mengadakan konsert khas buat peminat mereka.

“Cuma kita sekarang sedang menunggu lamaran ataupun funder (penaja) yang akan buat untuk Konsert 35 Tahun Ukays. Dulu kami pernah buat konsert 25 Tahun Ukays.

“Jadi saya mengharapkan agar ada mana-mana syarikat korporat atau penaja yang boleh menaja kami nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top