am@hmetro.com.my
Shah Alam: Pemandu kereta terselamat apabila kenderaannya melanggar besi ‘long shaft’ lalu merempuh sebuah lori di Kilometer 54.1 Lebuhraya Pantai Barat (WCE), arah Ijok, Kuala Selangor semalam.
Seorang pemandu kereta terselamat selepas kenderaannya melanggar besi ‘long shaft’ sebelum merempuh sebuah lori di Kilometer 54.1 Lebuhraya Pantai Barat (WCE) arah Ijok, Kuala Selangor di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, maklumat berhubung kejadian diterima jam 5.44 petang.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku jam 2.30 petang ketika pemandu kereta dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tanjong Karang.
“Setibanya di lokasi, pemandu kereta terlanggar besi ‘long shaft’ di atas jalan dipercayai jatuh dari sebuah lori,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Azaharudin berkata, impak pelanggaran mengakibatkan kereta terbabit hilang kawalan dan melanggar lori yang diletak di lorong kecemasan sebelah kiri.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua pemandu tidak mengalami kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 94 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 94 LN 170/59) dan siasatan lanjut masih diteruskan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Shahdan di talian 013-9266196 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, tular di laman sosial rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang memaparkan kemalangan itu.
Video berdurasi 17 saat itu menunjukkan sebuah kereta merempuh sebuah lori selepas melanggar objek di tengah lebuh raya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




