300 individu disyaki terbabit ajaran sesat ditahan dalam operasi JHEAINS – PDRM

300 individu disyaki terbabit ajaran sesat ditahan dalam operasi JHEAINS – PDRM

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Seramai 300 individu, termasuk 12 pemimpin dan penganjur utama sebuah kumpulan dikaitkan dengan ajaran sesat ditahan pihak berkuasa dalam satu program dianjurkan di dewan sebuah sekolah menengah di Likas, dekat sini, semalam.

Mereka ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), susulan aduan awam mengenai satu program selama dua hari bermula kelmarin, dipercayai menghimpunkan pengikut Jemaah Ahmadiyah Qadiani di sekolah terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, semakan mendapati himpunan sempena Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 itu dikaitkan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang difatwakan sesat dan menyeleweng oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah sejak 2007.

“Seramai 300 individu ditahan bagi membantu siasatan yang terdiri 12 pemimpin dan penganjur utama serta 288 ahli jemaah. Program turut dihadiri pimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) selain ahli dari beberapa daerah di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pihak berkuasa merampas 24 helai banting memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi kumpulan itu, kira-kira 200 buku dan bahan bacaan berkait ajaran terbabit, dokumen program, senarai kehadiran, bahan penerbitan serta pelbagai dokumen lain mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995. Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut oleh JHEAINS.

“Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan,” katanya turut menasihatkan orang ramai mendapatkan panduan agama daripada sumber sahih dan diiktiraf serta merujuk pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang keraguan berkaitan sesuatu ajaran atau fahaman agama.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang didapati menyebarkan fahaman menyeleweng daripada ajaran Islam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top