am@hmetro.com.my
Melaka: Polis menafikan dakwaan sebuah kenderaan pacuan empat roda milik pasukan itu mengiringi beberapa kenderaan warga asing seperti tular di media sosial baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, hasil semakan mendapati video berkenaan dipercayai disunting dengan menggabungkan dua rakaman yang dirakam di lokasi berbeza sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, rakaman yang memaparkan kenderaan pacuan empat roda polis keluar dari satu simpang sememangnya dirakam berhampiran Masjid Tun Mohd Khalil Yaakub di Tanjung Minyak.
Katanya, ketika itu anggota polis terbabit tidak mengiringi mana-mana kenderaan sebaliknya beberapa kenderaan lain kebetulan bergerak keluar pada waktu sama.
“Menerusi video itu memaparkan kenderaan warga asing dipercayai dirakam di lokasi lain dan bukannya di Tanjung Minyak seperti yang didakwa menerusi komen dalam video tular itu.
“Sekiranya diteliti, imej dan latar lokasi dalam kedua-dua rakaman itu adalah berbeza,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, video berkenaan dipercayai disunting dengan menggabungkan dua situasi berlainan sehingga mencetuskan tanggapan yang tidak tepat.
Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 28 saat di TikTok yang mempersoalkan kehadiran sebuah kenderaan polis bersama beberapa kenderaan dipercayai milik warga asing yang dimaklumkan mendapat layanan VIP.
Video itu turut memaparkan rakaman beberapa kenderaan dipercayai milik warga asing sedang berkumpul di kawasan tanah merah sebelum digabungkan dengan rakaman kenderaan polis yang dirakam di Tanjung Minyak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




