am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Bercuti ke Terengganu boleh dianggap ‘tidak sah’ sekiranya tidak mengunjungi Pasar Besar Kedai Payang (PBKP), di sini, untuk membolehkan mereka mendapatkan pelbagai barangan antaranya hasil laut, kraftangan, batik, songket dan barangan kemas.
Tinjuan mendapati deretan kenderaan memasuki perkarangan PBKP hari ini hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas apabila ramai pengunjung berpusu-pusu ke sana.
Seorang perantau yang pulang dari Selangor, Nurul Fatihah Mohd Bunyamin, 44, berkata, peluang ke PBKP dimanfaatkan untuk melihat barangan kemas dan sekiranya bersesuaian, dia berhajat untuk membelinya.
“Saya difahamkan emas di negeri ini kualitinya terbaik dan saya tidak ragu-ragu dengan emas yang dijual,” katanya.
Menurutnya, penurunan harga emas ketika ini iaitu RM548 bagi emas 916 per gram berbanding lebih RM700 sebelum ini memberi peluang kepada orang ramai untuk membeli barangan kemas terbabit.
“Setiap kali balik ke kampung suami, saya akan singgah melihat koleksi barang kemas yang dijual, bukannya berwang sangat namun membeli yang murah sudah memadai untuk dijadikan simpanan,” katanya ketika ditemui di PBKP, semalam.
Menurutnya, pelbagai promosi dan rekaan barang kemas yang sering dipaparkan di media sosial mendorongnya untuk berkunjung ke kedai emas di negeri ini.
“Sebelum datang, saya banyak melihat koleksi dipromosikan secara dalam talian. Apabila tiba di sini, pilihan yang ada jauh lebih banyak daripada yang saya bayangkan,” katanya.
Pengunjung, Maisarah Rosli, 40, dari Kempas, Johor, berkata, dia memilih untuk ke bahagian pakaian, tudung dan batik kerana banyak pilihan boleh diperoleh di PBKP.
“Harganya tidaklah ‘keras’ sangat dan dikategori mampu milik namun paling penting banyak pilihan yang boleh diperoleh di satu tempat.
“PBKP dilihat ‘syurga’ pelbagai barangan yang boleh dibeli dengan harga berpatutan dan masih boleh tawar-menawar,” katanya.
Sementara itu, pekerja kedai emas, Mohd Rizal Abdullah, 48, berkata, jumlah pelanggan menunjukkan peningkatan kira-kira 50 peratus sejak bermulanya cuti sekolah dan musim perayaan Aidiladha.
Menurutnya, kebanyakan pelanggan terdiri daripada perantau yang pulang ke kampung serta pelancong luar yang mengambil peluang membeli emas ketika bercuti.
“Kami memang dapat lihat pertambahan pelanggan sejak beberapa hari lalu. Antara faktor utama ialah harga emas yang sedikit menurun berbanding sebelum ini.
“Ramai pelanggan berasakan sekarang adalah masa yang sesuai untuk membeli sebelum harga kembali meningkat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




