'Bapanya baru meninggal dunia, hari ini dia, isteri, mentua, anak saudara pula pergi' – Ibu saudara

'Bapanya baru meninggal dunia, hari ini dia, isteri, mentua, anak saudara pula pergi' – Ibu saudara

am@hmetro.com.my

Dungun: Empat mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Renggam-Simpang Renggam hadapan penjara Simpang Renggam, tengah hari tadi, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Ladang Risda Ulu Sedili Johor selepas menghadiri majlis kenduri di Telok Mas Melaka.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, kesemua mangsa Mohd Aiman Mohd Rashid, 36, bersama isterinya, Nor Azlina Abd Latif, 33, dan ibu Nor Azlina, Semek Mat Soh, 73, serta anak saudara Mohd Aiman, Nur Airish Syifa Sidek, 10, maut dalam kemalangan itu.

Ibu saudara Mohd Aiman, Nor Haida Dolah, 54, yang tinggal di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) berkata, dia terkejut selepas menerima berita kemalangan itu jam 1.30 tengah hari.

“Kesedihan kami sekeluarga belum lagi reda selepas ayah Mohd Aiman, Mohd Rashid Dollah, 59, iaitu abang saya baru sahaja meninggal dunia dua minggu lepas akibat kanser usus.

“Hari ini kami sekeluarga sekali lagi menerima berita yang paling menyedihkan bukan saja Aiman, malah isteri, ibu mentua dan anak saudaranya pergi sekaligus menghadap Ilahi, ” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar AMBS, petang tadi.

Nor Haida berkata, Mohd Aiman bekerja sebagai Pegawai Ladang dan isterinya, Nor Azlina bekerja sebagai Pembantu Pejabat Risda di Ulu Sedili, Johor.

“Mereka berdua sebelum ini bekerja Ladang Risda Durian Mas Dungun dan anak saudaranya itu kemudiannya dinaikkan pangkat dan bertukar ke Sedili, Johor pada Januari 2025.

“Memandangkan keadaan ibu mentuanya yang uzur dan tinggal bersendirian, Mohd Aiman membawa ibu mentuanya itu tinggal bersamanya sejak sebulan lalu,” katanya.

Katanya, kali terakhir dia menemui anak saudaranya itu pada hari raya pertama Aidiladha dan Mohd Aiman balik semula ke Sedili dua hari selepas itu.

“Ketika pulang ke Sedili, Mohd Aiman membawa anak kepada seorang lagi kakaknya, Nur Airish Syifa mengikutinya ke sana.

“Mohd Aiman dan isterinya berkahwin sejak sembilan tahun lalu dan masih belum dikurniakan anak dan kedua-dua mereka sayang Nur Airish seperti anak sendiri,” katanya.

Menurutnya, Mohd Aiman berjanji akan pulang semula ke AMBS untuk menghantar Nur Airish pada Sabtu ini kerana dia akan mula bersekolah pada Ahad depan.

“Saya dimaklumkan sebelum kejadian mereka semua menghadiri kenduri memasuki rumah baru anak saudara Nor Azlina di Teluk Mas serta pergi beraya di rumah ibu saudara Mohd Aiman di Umbai Melaka.

“Saya mendapat panggilan jam 1.30 tengah hari daripada ahli keluarga yang melihat berita kemalangan daripada media sosial,” katanya.

Nor Haida berkata dia memaklumkan berita itu kepada adiknya iaitu ibu kepada Nur Airish.

“Ibu dan bapa Nur Airish bergegas ke Hospital Enche’ Besar Hajah Khalsom Keluang jam 2.30 petang.

“Jenazah semua mangsa akan dibawa pulang untuk dikebumikan di AMBS sebaik urusan bedah siasat selesai,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top