Bakat cilik curi perhatian Safee

Bakat cilik curi perhatian Safee

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Ada ramai permata baharu.”

Demikian pandangan bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali yang akui menemui ramai pemain muda berbakat sepanjang Kejohanan MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2026 yang melabuhkan tirainya, semalam.

Malah, Safee mengakui beliau terkejut dengan tahap permainan dan kematangan yang dipamerkan pemain cilik sepanjang kejohanan berlangsung di Stadium MP Ampang Jaya.

Menurutnya, ada beberapa pemain yang berjaya mencuri perhatian termasuk seorang pemain muda yang menunjukkan sentuhan penyudah berkualiti meskipun masih berada di peringkat akar umbi

“Saya terkejut kerana ramai pemain cilik yang hadir mampu bermain dengan begitu matang mengikut usia mereka. Ada juga seorang pemain yang benar-benar memikat mata saya kerana menunjukkan kualiti penyudah yang sangat baik.

“Saya harap kejohanan seperti ini dapat menjadi platform untuk mereka terus berkembang dan meningkatkan prestasi pada masa akan datang,” katanya.

Safee berkata, peningkatan jumlah penyertaan kepada lebih 900 pemain pada edisi kali ini berbanding kira-kira 500 peserta tahun lalu membuktikan minat terhadap pembangunan bola sepak akar umbi semakin berkembang.

Menurut bekas penyerang Harimau Malaya itu, peningkatan tersebut juga menjadi bukti bahawa Malaysia sebenarnya tidak pernah ketandusan bakat, sebaliknya memerlukan lebih banyak platform untuk mencungkil potensi pemain muda.

“Saya percaya negara kita tidak kekurangan bakat. Apa yang penting, bakat-bakat ini perlu terus dicari, dibimbing dan diberikan peluang untuk berkembang.

“Apabila semakin ramai kanak-kanak menyertai kejohanan seperti ini, peluang untuk kita menemui lebih ramai pemain berbakat juga akan menjadi lebih besar,” katanya.

Kejohanan tahun ini turut mencatat perkembangan memberangsangkan apabila berjaya menarik penyertaan pasukan dari luar Lembah Klang termasuk Pulau Pinang dan Pahang.

Penyertaan itu dilihat sebagai petunjuk positif terhadap perkembangan program pembangunan bola sepak akar umbi di seluruh negara.

MommyHana Safee Sali Superkids Cup 2026 mempertandingkan empat kategori umur iaitu bawah 8 (B-8) tahun , B-10, B-12 dan B-14.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top