am@hmetro.com.my
Johor Bahru: PAS Johor bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dengan segala persiapan parti digerakkan selaras ketetapan yang diputuskan kepimpinan PAS Pusat.
Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, berkata parti telah memulakan persiapan awal serta menggerakkan seluruh jentera parti di semua peringkat bagi menghadapi PRN kali ini.
“PAS Johor menghormati proses demokrasi dan sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi asas kepada perjalanan pentadbiran negeri dan negara.
“PAS Johor sudah memulakan persiapan awal serta menggerakkan seluruh jentera parti di semua peringkat bagi menghadapi PRN Johor ke-16.
“PAS Johor juga akan melangkah ke medan PRN Johor ke-16 selaras dengan ketetapan yang diputuskan oleh PAS Pusat,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Justeru, Mahfodz yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor menyeru seluruh rakyat Johor agar keluar beramai-ramai menunaikan hak mengundi tidak lama lagi.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan DUN Johor dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRN selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk mengadakan PRN.
© New Straits Times Press (M) Bhd




