London: Pengendali England, Thomas Tuchel mengakui cuaca panas dan kelembapan tinggi bakal menjadi cabaran utama pada Piala Dunia 2026, namun beliau tetap yakin skuad The Three Lions mampu melangkah jauh dalam kejohanan itu.
Sebahagian besar pemain England dijadual berlepas ke Miami hari ini bagi menjalani kem penyesuaian cuaca panas selama 10 hari sebagai persiapan menghadapi kejohanan berkenaan.
Bagaimanapun, beberapa pemain seperti Bukayo Saka, Declan Rice, Noni Madueke dan Eberechi Eze diberikan masa tambahan untuk berehat selepas beraksi dalam final Liga Juara-Juara, Ahad lalu.
Penjaga gol Crystal Palace, Dean Henderson turut dijangka menyertai kem lebih lewat dan akan terlepas aksi persahabatan menentang New Zealand di Tampa pada Sabtu ini.
Seramai 21 pemain lain akan berkumpul di West Palm Beach untuk memulakan persiapan awal menghadapi cabaran Piala Dunia.
Tuchel berkata, beliau semakin yakin dengan kemampuan pasukannya selepas melihat semula kualiti yang dimiliki pemain England.
“Apabila saya kembali menilai perlawanan dan mengadakan sesi latihan serta perjumpaan pasukan di Florida berdasarkan apa yang sudah kami lakukan sebelum ini, saya melihat banyak kualiti dalam pasukan ini.
“Ia memberikan keyakinan penuh kepada saya bahawa kami mampu melangkah jauh dalam kejohanan ini,” katanya.
Menurut Tuchel, faktor cuaca panas dan kelembapan tinggi bukan sesuatu yang biasa buat pemain England, terutama selepas mengharungi musim yang panjang bersama kelab masing-masing.
“Kami tidak biasa bermain dalam keadaan cuaca panas dan lembap seperti ini, malah mungkin juga perlu berdepan cabaran altitud jika bermain di Mexico.
“Terdapat banyak cabaran dalam Piala Dunia kali ini dan cuaca adalah salah satunya, tetapi kami sudah membuat persediaan rapi,” katanya.
Beliau menjelaskan pasukan kejurulatihan sudah mempunyai pelan khusus bagi membantu pemain menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca sepanjang kejohanan.
“Kami memahami bagaimana setiap pemain bertindak balas terhadap cuaca panas dan sudah menyediakan strategi penyejukan yang sesuai.
“Kami turut mendapat bantuan daripada Team GB serta pakar dari seluruh dunia bagi mencari penyelesaian terbaik untuk membantu pemain menyesuaikan diri.
“Kami juga tahu tempoh terbaik untuk mendedahkan pemain kepada cuaca panas, jumlah latihan yang sesuai di bawah matahari dan bagaimana mengelakkan mereka daripada berlatih secara berlebihan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




