am@hmetro.com.my
Kluang: Jenazah empat sekeluarga yang maut selepas kenderaan dinaiki dirempuh sebuah kereta dipandu laju dan melulu di Jalan Renggam-Kluang dekat sini, tengah hari semalam sudah dituntut ahli keluarga.
Jenazah Semek Mat Soh, 73, Aiman Mohd Rashid, 36; isterinya, Nor Azlina Abd Latip, 33, serta Nur Airish Syifa Sidek, 10, yang juga anak saudara Aiman dituntut sebaik proses bedah siasat selesai kira-kira 4 pagi.
Sejurus kemudian, keempat-empat jenazah dibawa menaiki van berasingan sebelum berlepas ke Terengganu sejam kemudian.
Kesemua mangsa dijangka dikebumikan di kampung halaman mereka di Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, Terengganu, selepas solat Zohor.
Terdahulu, empat van jenazah dilihat keluar dari Jabatan Forensik, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini, sejurus proses bedah siasat selesai.
Suasana sedih menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik sebaik ahli keluarga mangsa tiba dari Terengganu kira-kira 1 pagi bagi tujuan pengecaman.
Beberapa ahli keluarga dan sanak saudara menitiskan air mata sejurus diberi peluang menatap wajah mangsa buat kali terakhir sebelum dibawa masuk ke dalam van jenazah.
Dalam kejadian 1.15 tengah hari, empat sekeluarga dalam perjalanan ke Kota Tinggi maut selepas kenderaan dinaiki dirempuh sebuah kereta mewah dipandu laju dan melulu.
Kemalangan berlaku di Kilometer 27 itu membabitkan lima kenderaan iaitu Perodua Alza, Proton Wira, Mercedes Benz, BMW dan Toyota Vios. Kesemua mangsa maut di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan.
Selain itu, dua kanak-kanak masing-masing lelaki dan perempuan yang juga penumpang Perodua Alza berusia 11 dan tujuh tahun cedera di kepala, kini menerima rawatan di hospital sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




