Agama Islam mempunyai kedudukan yang istimewa dalam sistem perundangan di tanah air kita. Islam adalah agama persekutuan dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Agama Islam bagi negara Malaysia. Institusi beraja di Tanah Melayu merupakan kesinambungan sejarah kepimpinan warisan negara dan lambang perpaduan dan keharmonian antara kaum di Malaysia.
Sejarah Kerajaan Kesultanan Melayu di Malaysia bermula dari Kerajaan Langkasuka Purba dan Kerajaan Melayu Melaka. Kebanyakan Kesultanan negeri di Malaysia berakar dari Kerajaan Melayu Melaka yang diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1400 masihi. Manakala, jawatan Yang di-Pertuan Agong diwujudkan hasil daripada Perakuan Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan. Cadangan jawatan Yang di-Pertuan Agong timbul berikutan tentangan terhadap penubuhan Malayan Union yang dilihat cuba menghapuskan Institusi Raja-Raja Melayu.
Sejarah mencatatkan pada Ogos 1957, Majlis Raja-Raja telah bersidang untuk mengundi pemegang takhta yang pertama bagi menggunakan gelaran Yang di-Pertuan Agong. Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dari Negeri Sembilan, yang menaiki takhta pada 1933, dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong Pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu. Sehingga kini, institusi Yang di-Pertuan Agong semakin bertapak kukuh, kekal relevan serta menjadi tunggak kepada kerajaan Melayu-Islam yang harmoni di Malaysia.
Agama Islam sangat menitik beratkan soal perpaduan, terutamanya perpaduan dalam kalangan rakyat dan Islam menolak sebarang bentuk perpecahan, perselisihan dan permusuhan. Institusi Raja dan perpaduan sesama umat Islam boleh digambarkan sebagai satu binaan yang kukuh sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Orang Mukmin itu bagi Mukmin lainnya seperti satu bangunan, sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Perpaduan ummah dapat diambil iktibar dalam sejarah peperangan Badar yang berlaku pada tahun kedua hijrah. Umat Islam yang berjumlah tiga ratus tiga belas orang sahaja mampu menewaskan tentera musyrikin yang berjumlah seramai seribu orang. Ini membuktikan kukuhnya perpaduan antara umat Islam walaupun bilangan mereka dalam jumlah yang kecil. Perpaduan tersebut pula didasari keteguhan kepercayaan kepada kepimpinan yang diketuai oleh Rasulullah SAW sebagai tunggak utama.
Sebaliknya ketika jumlah tentera Islam yang ramai dalam peperangan Hunain pada tahun kelapan hijrah, mereka hampir tewas pada peringkat awal disebabkan sikap terlalu yakin dengan kemenangan dan tiadanya perpaduan sesama mereka. Sikap tidak mematuhi arahan pucuk pimpinan juga menjadi antara punca bibit awal kekalahan tersebut.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.” (Surah al-Taubah ayat 2)
Namun, dengan sikap tenang seorang pemimpin, Rasulullah SAW mengatur kembali strategi dan kembali bangkit meniupkan semangat jihad memerangi musuh Allah SWT. Natijahnya, kemenangan kembali berpihak kepada umat Islam apabila mereka mula sedar pentingnya perpaduan dan kepatuhan kepada pemimpin yang dilantik.
Dalam konteks pembinaan sesebuah negara berdaulat, semangat perpaduan seperti yang terkandung dalam penggubalan Piagam Madinah boleh dijadikan asas dan panduan dalam menegakkan sesebuah negara. Paling penting, hak dan keistimewaan penduduk asal dijamin sepenuhnya tanpa kompromi, namun pada masa masa Perlembagaan negara turut menjamin dan memelihara hak semua bangsa dan agama lain atas dasar kemanusiaan sejagat.
Peranan kepimpinan utama negara sangat signifikan dalam memastikan perpaduan dalam sesebuah negara dicapai. Dalam konteks Malaysia, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu memainkan peranan yang amat besar bagi memastikan kestabilan politik terjaga sekali gus memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat jelata. Tunggak utama negara yang terpenting ini menjadi teras dalam memastikan usaha perpaduan dilaksanakan dengan tegas, sesuai dengan jaminan di dalam Perlembagaan negara.
Asas kepada semua ini ialah kesediaan semua pihak bersikap terbuka, berlapang dada, berbaik sangka serta saling menghormati antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya perpaduan boleh mendatangkan banyak manfaat. Peribahasa Melayu mengatakan dengan perpaduan, gunung yang tinggi dapat diratakan, begitu juga bersatu teguh bercerai roboh dan bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Ini semua menunjukkan perpaduan menyebabkan kerja yang berat akan menjadi ringan dan masalah yang rumit akan berjaya dirungkai.
Sejarah Islam membuktikan umat Islam berjaya menjatuhkan dua kuasa besar dunia iaitu Rom dan Parsi. Mereka bukan menjatuhkan dua kuasa besar tersebut dengan senjata yang lebih canggih daripada musuh mereka, sebaliknya mereka berjaya menjatuhkan Rom dan Parsi dengan semangat perpaduan yang berjaya diterapkan dalam jiwa umat Islam di samping roh jihad yang tersemat kukuh dalam sanubari mereka.
Ini menunjukkan betapa pentingnya perpaduan kerana dengan bersatu-padulah umat Islam boleh menjadi kuat walaupun jumlah mereka sedikit. Perpaduan seperti inilah yang perlu ada dalam kalangan rakyat supaya Raja kita dapat melaksanakan peranannya sebagai ketua agama dan melindungi rakyat jelata.
Allah SWT mengingatkan kita akan bahaya perselisihan dan perpecahan menerusi FirmanNya dalam surah al-Anfal ayat 46: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati), sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”
Ajaran Islam dengan tegas mewajibkan penganutnya supaya bersatu-padu dan mengelakkan perpecahan. Sekiranya umat Islam berpecah belah dan bercerai berai, ini menunjukkan bahawa mereka telah mengabaikan ajaran agama mereka sendiri. Perpaduan yang terjalin perlu tertegak melalui kepimpinan yang teguh dan utuh. Kombinasi antara keduanya mampu membantu sesebuah negara mengorak langkah dan melonjakkan negara menjadi semakin maju ke hadapan.
Secara tuntasnya, umat Islam wajib bersatu padu dan mentaati Raja atau pemimpin dalam perkara yang tidak bertentangan dengan hukum syarak. Segala sifat yang mengundang kepada perpecahan hendaklah dijauhi, antaranya yang berpunca daripada sikap suka berhasad dengki, bersangka buruk, mengadu domba, saling memfitnah dan seumpamanya yang akibatnya sangatlah buruk.
Tanggungjawab mentaati institusi Raja di Malaysia bukan hanya terpikul di pundak orang Melayu dan Islam sahaja, malah menjadi kewajipan kepada semua bangsa dan agama seperti yang termaktub dengan tegas dan jelas di dalam Rukun Negara. Janganlah jadi seperti ‘kaduk naik junjung’ dengan bersikap biadab terhadap titah dan nasihat yang telah diberikan. Sistem Raja Berpelembagaan yang diamalkan di Malaysia adalah tunjang kepada keharmonian dan perpaduan, manakala sikap angkuh dan biadab pastinya akan merosakkan kesejahteraan yang telah dikecapi sekian lama.
Hubungan dan ikatan mesra antara Raja dan rakyat jelata yang sudah sekian lama terjalin ini perlu dikekalkan dan diperkukuhkan dari semasa ke semasa. Institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu merupakan tonggak dan lambang perpaduan serta keharmonian masyarakat di Malaysia, manakala peranan besar sebagai Ketua Negara dan Ketua Agama Islam wajib dipertahankan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.
Penulis Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA
© New Straits Times Press (M) Bhd




