Paris: Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka mara ke suku akhir Terbuka Perancis selepas menewaskan juara empat kali Grand Slam, Naomi Osaka dalam aksi pusingan keempat awal pagi tadi.
Sabalenka menampilkan permainan bertenaga dengan menghasilkan 39 pukulan kemenangan dan 12 ace sebelum menang 7-5, 6-3 untuk melangkah ke kelompok lapan terbaik kejohanan Grand Slam buat kali ke-14 berturut-turut.
Pemain Belarus itu kini menjadi satu-satunya juara Grand Slam yang masih kekal dalam saingan perseorangan lelaki atau wanita di Roland Garros.
“Saya mampu mengasingkan diri daripada segala yang berlaku tahun ini di Roland Garros.
“Saya sudah lama berada di sini. Apa sahaja boleh berlaku. Itulah tenis,” kata Sabalenka.
Kejayaan itu juga adalah kemenangan ketiga berturut-turut Sabalenka ke atas Osaka tahun ini selepas tewas dalam pertemuan di Terbuka Amerika Syarikat 2018.
Sabalenka seterusnya akan bertemu pemain Russia, Diana Shnaider dalam usahanya memburu gelaran pertama Terbuka Perancis selain menebus kekecewaan tewas di final tahun lalu kepada Coco Gauff.
“Pada tahap ini saya hanya fokus kepada diri sendiri dan memastikan saya memberikan segala-galanya di gelanggang.
“Itulah mentaliti saya, saya bersedia melakukan apa sahaja untuk memenangi trofi ini,” katanya.
Osaka pula menamatkan kemaraan terbaiknya di Paris setakat pusingan 16 terbaik.
“Jika saya kalah perlawanan seperti ini ketika muda dahulu, saya mungkin akan mengurung diri dalam bilik.
“Tetapi sekarang saya tetap cintakan tenis dan cuba menjadi pemain terbaik yang saya mampu.
“Namun pada masa sama, saya teruja untuk pulang berjumpa anak perempuan saya,” kata pemain Jepun berusia 28 tahun itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




