PPIM gesa platform media sosial patuh kod baharu

PPIM gesa platform media sosial patuh kod baharu
PPIM gesa platform media sosial patuh kod baharu

Pendekatan mewajibkan pengesahan identiti dan mengehadkan akses kepada pengguna bawah 16 tahun adalah langkah yang wajar. Foto hiasan

SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa semua penyedia platform media sosial mematuhi sepenuhnya pelaksanaan syarat pengesahan umur 16 tahun ke atas bagi pembukaan akaun media sosial yang mula berkuat kuasa pada Isnin.

PPIM dalam kenyataannya menyambut baik pelaksanaan syarat berkenaan sebagai satu langkah ke hadapan dalam memperkukuh keselamatan pengguna di ruang digital.

“Pendekatan mewajibkan pengesahan identiti dan mengehadkan akses kepada pengguna bawah 16 tahun adalah langkah yang wajar dalam usaha mengurangkan risiko seperti penipuan dalam talian, gangguan siber dan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.

“Dalam konteks semasa, di mana kes jenayah siber dan manipulasi digital semakin meningkat, langkah ini dilihat sebagai usaha dasar yang lebih tersusun bagi mengimbangi antara akses teknologi dan perlindungan pengguna, khususnya golongan muda,” katanya pada Selasa.

Terdahulu, menerusi peraturan baharu itu, individu berusia bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan membuka sebarang akaun media sosial manakala mereka yang ingin mendaftar diwajibkan mengemukakan dokumen pengenalan rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID sebagai pengesahan umur.

Keperluan itu tidak terhad kepada pendaftaran baharu, malah pemilik akaun sedia ada juga wajib melakukan pengesahan identiti bagi memastikan mereka kekal layak mengakses platform itu mengikut kriteria ditetapkan.

Dalam pada itu, PPIM melihat pengenalan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) sebagai satu perkembangan positif ke arah meningkatkan kebertanggungjawaban penyedia platform digital, termasuk dari aspek kawalan kandungan dan keselamatan sistem.

Justeru PPIM menggesa semua penyedia platform media sosial agar mengambil tindakan proaktif untuk memastikan pematuhan penuh terhadap keperluan di bawah CPC dan RMC, termasuk mempercepatkan pelaksanaan sistem pengesahan umur serta memperkukuh mekanisme keselamatan pengguna.

“PPIM turut menekankan kepentingan keterjaminan dan keselamatan data peribadi dalam pelaksanaan ini, dan berharap ia dilaksanakan dengan standard perlindungan yang tinggi.

“Kami akan terus memantau perkara ini dari semasa ke semasa demi memastikan hak pengguna sentiasa terpelihara.

“Perlindungan pengguna memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk pendidikan, pemantauan berterusan dan kerjasama semua pihak. Sehubungan itu, PPIM berharap pelaksanaan dasar ini dapat dilaksanakan secara telus, praktikal serta benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

 

 

Artikel Disyorkan

Scroll to Top